Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Solat Membina Ketahanan Diri

By Admin:290508:selasa

SOLAT fardu adalah satu ibadat yang wajib dilaksanakan individu Muslim, baik ketika waktu lapang mahupun sibuk dengan urusan, solat tetap kena dikerjakan setiap hari.

Melaksanakan solat ialah melakukannya menurut sebagaimana yang diperintahkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, bermula dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salam dengan hati penuh keikhlasan dan takwa.

Orang beriman mesti mendirikan solat kerana solat itu tuntutan iman, manakala iman adalah sifat jiwa dan nur batinnya. Jadi, orang yang mendirikan solat adalah orang beriman dan golongan ini sudah pasti berhak menjadi hamba Allah yang patuh kepada perintah-Nya menurut erti kata sebenar.

Mendirikan solat menurut tertib sempurna adalah suatu bisikan dan munajat kepada Tuhan yang dapat mendidik fikiran, hati dan jiwa ke arah kesucian dan kemuliaan.

Selain itu, dengan ibadat berkenaan berupaya membimbing akhlak dan gerak geri kehidupan ke jalan yang sejahtera, terpelihara dari segala anasir yang membawa kerosakan serta terhindar daripada melakukan sebarang tindakan di luar batas kesopanan.

Dalam Islam, solat juga adalah alat pendidikan dan dengan sebab itu kejahatan yang merosakkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan akan dapat dicegah oleh tenaga jiwa yang terdidik melalui ibadat berkenaan.

Muslim yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya dan faham pula segala hikmah dan rahsia bacaannya akan mendapat kekuatan dari dalam dirinya sehingga mampu menghadapi segala macam fitnah dan pancaroba.

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka.” (al-Ma’arij:19-23)

Ibadat solat juga adalah pembersih segala bentuk kesalahan Muslim setiap hari. Dengan pembersihan itu akan hati sentiasa suci. Hati yang suci akan memancarkan segala sumber kebaikan dan kehalusan budi pekerti pada setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Bagaimana pendapat kamu jika sekiranya ada sebatang sungai di pintu rumah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di situ setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih tertinggal sesuatu daripada dakinya? Mereka berkata: Tidak tertinggal lagi sesuatu daripada dakinya. Baginda bersabda: Maka yang demikian itulah bandingan solat lima waktu, Allah menghapuskan dengannya segala kesalahan.”

Pendek kata, solat adalah satu rukun Islam yang besar faedahnya, malah banyak pula hubungkaitnya dengan kesucian hidup di dunia ini.

Justeru, tidak wajar sekiranya ibadat berkenaan diabaikan, malah dilakukan secara sambil lewa, kerana faedahnya cukup besar dalam menjamin kesejahteraan Muslim.

Sekiranya diperhatikan dalam al-Quran banyak ayat perintah supaya mendirikan solat dan dalam masa yang sama melarang keras sikap cuai, lalai dan meninggalkannya.

Tetapi sejauh mana umat Islam mengerti terhadap perintah itu? Janganlah perintah tinggal perintah, kerana jika demikian tidak tersingkaplah kejayaan dan kecemerlangan yang akan menjamin kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat.

Dalam hadis ada menerangkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja atau dengan kesedaran bererti menyediakan satu pintu kekufuran dan akan dimasukinya pada bila-bila masa.

Kewajipan melaksanakan solat bukanlah satu tugas yang berat, malah ringan serta mudah disempurnakan dalam beberapa minit saja.

Seorang Muslim yang melaksanakan kewajipan ini akan mudahlah kelak baginya menunaikan kewajipan hidup yang lain. Tetapi ia mudah bagi mereka yang celik mata hatinya, bagaimana pula mereka yang tetap berasa berat, malas, terbeban?

Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat mengenai solat. Waktu baginda mengirimkan Muaz ke Yaman baginda berpesan dengan sabdanya (maksud): “Wahai Muaz, sesungguhnya sepenting-penting urusan engkau di sisi aku ialah solat.”

Menurut riwayat, Saidina Umar al-Khattab pernah mengirimkan surat kepada setiap hakim (penguasa) negeri di dalam kekuasaannya, dengan katanya: “Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu di sisiku ialah solat. Sesiapa yang memelihara solatnya dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya dan dia lebih lagi mensia-siakan kepada apa yang selainnya. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan solat.”



Related Posts with Thumbnails

0 ulasan:

 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: Solat Membina Ketahanan Diri | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top