Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Manusia tidak digunakan akal, lebih teruk daripada haiwan - Tafsir surah al-An'am ayat 35-36

Oleh:Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Awang

Haiwan yang tidak berakal sentiasa tunduk kepada apa yang ditentukan oleh Allah ke atasnya tanpa sebarang pilihan lagi. Tetapi manusia khususnya yang mempunyai akal ada yang memilih selain perintah Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka.

Mereka menjadikan perintah hawa nafsu sebagai sekutu Allah dalam mengatur kehidupan di dunia. Mereka tidak menerima hidayah Allah lalu mereka menjadi manusia yang sesat dan pada hari akhirat kelak dihumbankan ke dalam neraka Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud "oleh itu, janganlah kamu menjadi (salah seorang) dari orang-orang yang jahil." (Surah al-An'am :35)

Ertinya janganlah pula kamu terdiri daripada orang yang tidak mengetahui bahawa Allah boleh menentukan semua manusia menerima agama yang satu (Islam) jika Allah menghendaki-Nya (wahai Muhammad s.a.w). Tetapi Allah jadikan mereka tidak menerima hidayah kerana pilihan mereka sendiri bukan dipaksakan ke atas mereka sebagaimana dipaksakan ke atas haiwan yang tidak berakal menerima segala ketentuan Allah tanpa pilihan lagi.

Oleh itu janganlah engkau (hai Muhammad s.a.w) merasakan pembohongan dan penentangan orang-orang kafir terhadap kamu, suatu yang amat besar dan besar bagimu sehingga engkau meninggalkan dakwah dan perjuangan Islam.

Anggaplah semua itu suatu yang lumrah dan ujian yang mesti datang yang ditentukan oleh Allah ke atas setiap rasul-hai Muhammad. Anggaplah semua itu masalah biasa sahaja dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Yang penting ialah kamu sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,"Hanya orang-orang yang menyahut (seruan-MU itu) ialah orang yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran)." (Surah al-An'am:36)

Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan Nabi s.a.w bahawa janganlah baginda merasa berat hati dan terlalu sukar menghadapi penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (orang-orang kafir) dan terhadap sikap mereka yang tidak mahu menyahut seruan dakwahnya, mengesakan Allah dan mengakui kenabiannya.

Ini kerana sesungguhnya tidaklah orang yang menyahut seruan dakwah Nabi s.a.w melainkan sesungguhnya Allah telah membuka pendengaran mereka untuk menerima kebenaran dan mempermudahkan mereka untuk mengikut jalan-Nya.

Inilah antara sifat yang ada pada orang yang beriman yang sentiasa mahu menerima kebenaran dan berada di atas jalan yang betul, tidak pernah menutup mata hati mereka untuk berbuat demikian.

Berlawanan sifatnya dengan mereka yang kafir, mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi s.a.w walaupun telinga mereka tidak pekak.

Mereka tidak mahu memahami apa yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi s.a.w sebagaimana binatang ternakan tidak memahami apa yang dicakapkan oleh pengembalanya walaupun ada telinga dan dapat mendengarnya.

Bahkan orang kafir itu lebih teruk lagi berbanding dengan haiwan tersebut dinisbahkan dengan akal fikiran yang dikurnia oleh Allah kepada mereka.

Mata hati mereka itu telah tertutup tidak dapat melihat dan tidak dapat menerima kebenaran. Mereka itu seolah-olah seperti orang mati, tidak dapat melihat, mendengar dan merasakan sesuatu dengan hati mereka. Oleh kerana hati mereka mati (tertutup dari menerima kebenaran), Allah sifatkan jasad mereka juga seolah-olah seperti orang mati dengan firman yang bermaksud," dan orang-orang yang mati, Allah akan bangkitkan mereka semula." (Surah al-An'am :36)

Ahli tafsir berkata, orang-orang yang kafir akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama-sama dengan orang-orang yang mati, yakni golongan yang memekakkan telinga, membutakan mata dan memetraikan hati mereka dari mendengar Islam dan menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan para ulama di dunia dahulu.

Mereka dibangkitkan untuk menerima balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah dan perintah Nabi-Nya s.a.w

Related Posts with Thumbnails

BERHIJRAHLAH SEBELUM KAMU DIHIJRAHKAN

Ketibaan bulan Muharram 1431 Hijriyyah ini menandakan usia kita juga semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal kita juga semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin dekat. Sungguh pantas masa berlalu.

Tahun baru 1431 Hijriyyah kali ini jatuh pada penghulu segala hari iaitu hari Jumaat bersamaan 18 Disember 2009. Dalam menyambut ketibaan Awal Muharram atau dikenali juga dengan Ma’al Hijrah terdapat beberapa jenis golongan :

Golongan yang pertama : Golongan yang menyambutnya sekadar lahiriah. Mereka menyedari ketibaan Tahun baru hijriyyah kerana mereka mendapat cuti umum pada hari tersebut. Kehadiran bulan penuh keberkatan ini tidak mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri mereka. Mereka terus dengan tabiat dan perangai kebiasaan. Tidak terlintas di hati mereka untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan.

Golongan yang kedua : Mereka menyambut kedatangan bulan Muharram ini dengan azam dan niat untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan. Mereka berubah untuk beberapa ketika kemudian kembali kepada perangai lama.

Golongan yang ketiga : Mereka menyambut kehadiran tahun baru hijrah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mereka memasang azam yang teguh dan niat yang benar-benar mantap untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Golongan ini berupaya berubah menjadi hamba Allah yang bertakwa, soleh, menghindari perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan mereka terus istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Kita muhasabah diri kita masing-masing. Kita termasuk golongan yang mana di antara tiga golongan yang di atas setiap kali menerima kedatangan Ma’al Hijrah.

Kesilapan yang lepas biarkan ia berlalu. Awal Muharram yang terbaru ini jangan dipersia-siakan seperti sebelum ini. Perubahan ke arah kebaikan mesti dilakukan walau pun kita tidak pasti untuk berapa lama. Begitulah hakikat iman manusia yang kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurangan.

Sesiapa yang memasang azam untuk berhijrah dia telah mendpat pahala sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“ Sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya maka dituliskan untuknya satu hasanah ( kebaikan ). Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan kemudian dia melakukannya maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda.” ( Riwayat Imam Muslim)

Alangkah ruginya kita sekiranya tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah SWT sediakan untuk kita. Hanya berniat untuk berubah pun telah diberi pahala. Bila dilaksanakan, digandakan pula sepuluh kali ganda atau seberapa banyak ganjaran yang dikehendaki oleh Allah SWT. Jangan abaikan kasih sayang dan rahmat Allah SWT ini.

APAKAH PERUBAHAN YANG PERLU DILAKUKAN ?

Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari )

Hadis ini merupakan garis panduan untuk melakukan hijrah. Apa-apa perubahan ke arah kebaikan yang dilakukan merupakan satu hijrah dan telah menepati sabda Rasulullah saw di atas. Perubahan merangkumi dua perkara iaitu melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah. Melaksanakan suruhan Allah sebenarnya lebih mudah berbanding meninggalkan tegahan Allah SWT.

Perubahan yang paling utama ialah melakukan taubat terhadap dosa-dosa yang lampau. Setiap individu muslim wajib bertaubat. Tiada siapa yang terlepas daripada dosa melainkan para Rasul.

Taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan menghapuskan dosa. Allah SWT telah menjanjikan akan mengampuni dosa sesiapa yang bertaubat.

Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Ini adalah janji Allah SWT dan Maha Suci Allah daripada memungkiri janjiNya. Jangan berputus asa dengan keampunan Allah walau anda bayangkan dosa anda terlalu banyak. Semua itu terlalu mudah bagi Allah yang bersifat dengan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan al-Ghaffar ( Maha Pengampun).

Diikuti dengan menyempurnakan kewajipan yang telah difardukan seperti solat fardu, puasa bulan Ramadan, zakat dan sebagainya. Mengabaikan perkara fardu adalah satu dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Solat yang ditinggalkan dengan sengaja menyebabkan seseorang itu akan menghuni neraka Saqar. Firman Allah SWT :

"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar?. mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat. ( Surah al-Muddatsir : 42 dan 43 )
Jagalah anggota-anggota daripada melakukan dosa. Nikmat percakapan, pendengaran, penglihatan dan anggota-anggota lain jangan disalahgunakan untuk perkara yang diharamkan oleh syarak. Semua anggota kita akan menjadi saksi di akhirat nanti. Firman Allah SWT :

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan ( Surah al-Nur : 24 )

Tingkatkan amal soleh seumpama ingin menjaga solat fardu berjamaah, tilawah al-Quran setiap hari, bersedekah, memperbanyakkan solat sunat, melazimi qiyam al-lail dan banyak lagi amalan-amalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Tingkatkan juga ilmu agama agar sentiasa cenderung untuk meningkatkan keimanan dan amal soleh. Ibadat yang dilakukan juga hendaklah menepati ibadat Rasulullah saw supaya ibadat tidak menjadi sia-sia sebagaimana sabda Rasulullah saw :

” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak( tidak diterima).( riwayat Imam al-Bukhari )

APAKAH AMALAN KHAS BULAN MUHARRAM ?

Berpuasa Sunat

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).

BERHATI-HATI DENGAN AMALAN BERSUMBERKAN HADIS PALSU

Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, namun diingatkan bahawa terdapat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan. Hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram maka beramal dengannya juga adalah haram.

Lebih parah lagi sekiranya seseorang itu menyebarkan hadis-hadis palsu dan menyandarkan kepada Rasulullah saw. Dia sebenarnya telah melakukan pendustaan dan menempah neraka Allah SWT. Sabda Nabi saw :

“Sesiapa yang melakukan pendustaan atas namaku maka siapkanlah tempat duduknya di neraka” ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Zahabiy berkata selepas mengemukakan satu contoh hadis palsu : “hadis ini adalah hadis yang haram diriwayatkan kecuali dinyatakan kepalsuannya tanpa ragu-ragu lagi. Semoga Allah membalas perbuatan buruk terhadap orang yang merekanya.”


Selain daripada puasa yang disebutkan di atas tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas Sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

1) Nabi bersabda :” Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun. Hadis ini dikomentar oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu( al-Maudu’at).

2) Nabi bersabda :”Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”.
( palsu,lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal.

Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya :” Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik.

Semua amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

Bersama-samalah kita memanfaatkan kesempatan dan peluang menemui bulan Muharram 1431 Hijriyyah pada kali ini dengan sebaik mungkin. Muharram tahun depan belum pasti kita temui, mungkin Malakul Maut yang akan menemui kita terlebih dahulu. Berhijrahlah sebelum anda dihijrahkan ke alam barzakh. Wallahu Ta’ala a’lam.
Related Posts with Thumbnails

Hayati sebuah kehidupan

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun,mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid- muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh- musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend,hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gayahidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan."Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid- murid,begitulah ummat Islam dan musuh - musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang- terang. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan- hiasan dinding akan dikeluarkan dulu,kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan- lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita...
Related Posts with Thumbnails

Salim Maula Abu Hudzaifah - Pakar Al Qur`an yang Terbaik

Pada suatu hari, Rasulullah saw. berpesan kepada para sahabatnya, “Belajarlah Al Qur'an daripada empat orang: Abdullah bin Mas'ud, Salim Maula Abu Hudzaifah, Ubai bin Ka'b dan Muadz bin Jabal."

Kita sudah berkenalan dengan Abdullah bin Mas'ud, Ubai dan Muadz. Jadi, siapakah pula sahabat yang keempat yang dijadikan Rasulullah sebagai rujukan untuk mengajarkan AI Qur'an?

Dialah Salim Maula (hamba yang dibebaskan oleh) Abu Hudzaifah.

Dahulunya, beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli, lalu Islam mengangkat martabatnya, sehingga beliau dijadikan anak angkat oleh seorang tokoh Islam terkemuka, yang sebelum masuk Islam juga seorang bangsawan dan pemuka Quraisy.

Selepas Islam menghapuskan budaya anak angkat ketika itu, beliau menjadi saudara dan kawan rapat kepada orang yang memerdekakannya, yaitu sahabat mulia Abu Hudzaifah bin Utbah.

Berkat kurnia dan nikmat daripada Allah ta'ala, ruhiyah, tingkahlaku dan ketakwaan Salim mencapai ke puncaknya, sehinggakan beliau disegani dan dihormati oleh rakan-rakannya sesama muslim.

Sahabat Rasul yang mulia ini biasanya dipanggil "Salim Maula Abu Hudzaifah" kerana dahulunya beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli, kemudiannya dimerdekakan.

Beliau beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sejak awal lagi, sehingga digolongkan dalam kalangan as-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang mula-mula memeluk Islam).

Hudzaifah bin Utbah sendiri juga telah masuk Islam sejak awal. Beliau tidak peduli dengan ayahnya (Utbah bin Rabi'ah) yang sedang marah dan kecewa kerana anaknya (Hudzaifah) telah masuk Islam. Padahal, Hudzaifah memiliki kewibawaan tinggi dalam kalangan orang Quraisy dan bahkan, dirinya telah dipersiapkan untuk menjadi pemimpin Quraisy. Setelah memerdekakan Salim, Abu Hudzaifah menjadikannya sebagai anak angkat. Disebabkan inilah, Salim dikenali sebagai Salim bin Abu Hudzaifah.

Selepas itu, kedua-dua mereka beribadah kepada Allah dengan penuh khusyu dan ketaatan. Setiap siksaan dan tipu daya Quraisy, mereka hadapi dengan penuh kesabaran.

Pada suatu hari, turunlah ayat yang menghapuskan budaya anak angkat yang berlaku pada waktu itu. Setiap anak angkat mestilah disebut sesuai dengan nama ayah kandungnya, bukan ayah angkatnya.

Zaid yang pada waktu itu merupakan anak angkat Nabi saw. dan juga dikenali dalam kalangan kaum muslimin sebagai Zaid bin Muhammad saw., menggunakan nama ayah kandungnya semula iaitu Haritsah, lalu namanya menjadi Zaid bin Haritsah. Akan tetapi, ayah Salim tidak dapat diketahui sehinggakan beliau akhirnya dinasabkan dengan orang yang telah memerdekakannya, maka beliau dipanggil Salim Maula Abu Hudzaifah.

Boleh jadi, ketika Islam menghapuskan budaya anak angkat, Islam ingin menegaskan kepada umatnya, "Janganlah kamu mencari-cari hubungan kekeluargaan dan silaturahim untuk menguatkan persaudaraan yang lebih besar dan lebih kuat berbanding Islam itu sendiri dan juga akidah yang menjadikan kalian bersaudara."

Hal ini telah difahami dengan baik oleh kaum muslimin generasi as Sabiqun al Awwalun. Setelah Allah dan Rasul-Nya, tidak ada yang lebih mereka cintai melainkan saudara seakidah dengan mereka. Kita telah melihat bagaimana orang-orang Ansar menyambut saudara-saudara mereka, kaum Muhajirin. Mereka membahagikan harta dan tempat tinggal mereka kepada dua bahagian, bahkan ada yang memberi semua yang mereka miliki.

Inilah yang terjadi antara Abu Hudzaifah, seorang bangsawan Quraisy terhadap Salim yang dahulunya hamba belian yang tidak diketahui siapa ayahnya itu. Sehingga akhir hayat mereka, hubungan kedua-dua mereka ini lebih erat dan bukan sekadar sebagai dua orang adik-beradik, sehinggakan ketika meninggal dunia, mereka mati bersama-sama, nyawa melayang bersama dan tubuh mereka terbaring berdampingan.

Inilah kemuliaan Islam yang tiada dua. Bahkan, ini baru satu daripada sekian banyak kemuliaan dan keistimemewaan Islam.

Keimanan Salim sudah mencapai ke puncaknya. Beliau telah menempuh jalan menuju Allah dengan soleh dan ketakwaan. Oleh itu, salasilah keturunan dan kedudukannya di masyarakat sudah tidak menjadi masalah lagi, kerana ketakwaan dan keikhlasannya telah mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi di tengah-tengah masyarakat yang baru dibangunkan oleh Islam dengan tapak dan asas baru yang adil lagi mulia.

Asas itu diceritakan dalam firman Allah berikut.

"Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa"(al Hujurat, 49:13)

Juga dikhabarkan dalam hadis berikut.

"Tidak ada keutamaan bagi seorang Arab terhadap yang bukan Arab, kecuali kerana ketakwaannya, dan tidak ada keutamaan bagi seorang kulit putih terhadap seorang kulit hitam kecuali kerana ketakwaannya."

Dalam masyarakat baru yang bersih itu, Abu Hudzaifah pasti disanjung-sanjung sekiranya menjadi wali bagi seseorang yang dahulunya menjadi hamba belian. Bahkan, keluarganya juga akan disanjung jika menikahkan Salim dengan keponakannya yang bernama Fatimah binti Walid bin Utbah.

Di tengah-tengah masyarakat baru dan bersih yang menghancurkan sistem kasta yang menganiaya dan diskriminasi yang tidak adil inilah, Salim selalu berada di barisan hadapan disebabkan kejujuran, keimanan dan jasa baiknya.

Benar, dialah yang menjadi imam solat jemaah bagi kaum Muhajirin selama mereka bersolat di Masjid Quba'.

Beliau menjadi rujukan bagi mereka yang ingin mempelajari Al Qur'an, sehinggakan Rasulullah menyuruh kaum muslimin belajar daripadanya. Beliau juga memiliki banyak kebaikan dan kelebihan sehingga Rasulullah pernah bersabda kepadanya, "Segala puji bagi Allah yang menjadikan dalam umatku, orang sepertimu." Bahkan sahabat-sahabatnya ketika itu menggelarkannya sebagai Salim "orang yang soleh".

Riwayat hidup Salim seperti riwayat hidup Bilal dan puluhan hamba belian serta fakir miskin lain yang dibebaskan oleh Islam dari belenggu perhambaan dan kelemahan, lalu Islam menjadikan mereka pemimpin dalam masyarakat madani.

Pada diri Salim, terkumpul seluruh keutamaan dan kelebihan yang diajarkan oleh Islam. Bahkan boleh dikatakan, semua keutamaan itu berdesakan memenuhi diri dan sekitarnya. Dan kesungguhan imannyalah yang menjaganya dengan baik.

Antara kelebihannya yang paling menonjol ialah beliau berani menyatakan secara jelas apa yang dianggapnya benar. Beliau tidak mahu diam jika menurutnya, pada waktu itu beliau harus berbicara. Beliau tidak mahu mengkhianati kehidupan dengan berdiam diri terhadap suatu kesalahan yang dapat menguburkan kehidupan itu.

Selepas peristiwa pembukaan kota Mekah, Rasulullah menghantar beberapa buah pasukan kecil ke kampung-kampung dan suku-suku Arab di sekeliling Mekah, dan memberitahukan kepada penduduknya bahawa Rasulullah saw. menghantar utusan tersebut untuk berdakwah dan bukan untuk berperang.

Khalid bin Walid terpilih sebagai ketua salah sebuah pasukan tersebut. Ketika Khalid sampai di tempat yang dituju, terjadilah suatu peristiwa yang menyebabkan beliau terpaksa menggunakan senjata lalu membunuh. Ketika berita peristiwa ini sampai kepada Nabi saw., baginda tidak henti-henti memohon keampunan daripada Allah. Baginda berkata, "Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada perbuatan yang dilakukan oleh Khalid."

Bahkan, peristiwa ini selalu diingati oleh Saidina Umar dan mempengaruhi sikap dan pandangannya terhadap Khalid. Beliau berkata, "Sesungguhnya, pedang Khalid itu terlalu tergesa-gesa."

Dalam pasukan kecil yang diketuai oleh Khalid itulah terdapat Salim Maula Abu Hudzaifah dan sahabat yang lain. Ketika beliau melihat tindakan Khalid tersebur, Salim menegurnya habis-habisan dan memberitahukan kesalahannya sedangkan Khalid, yang merupakan seorang komandan dan juga pahlawan hebat pada zaman Jahiliah dan selepas Islam, kadang-kadang diam sambil mendengar, kadang-kadang membela hujahnya dan kadang-kadang berbicara dengan suara lantang. Namun, Salim tetap berpegang pada pendiriannya dan mengemukakannya tanpa rasa takut atau basa-basi.

Pada waktu itu, Salim tidak memandang Khalid sebagai pemuka bangsawan dan memandang dirinya sebagai hamba belian. Tidak! Hal ini kerana Islam telah menyamakan kedudukan mereka. Beliau juga tidak memandangnya sebagai komandan yang bebas untuk berbuat apa-apa kesalahan, tetapi sebagai rakan seperjuangan. Teguran yang beliau tujukan kepada Khalid bukan kerana maksud tertentu atau dengan tujuan tertentu, tetapi sebagai nasihat yang dijunjung tinggi oleh Islam, dan dijadikan oleh Nabi saw. sebagai sendi agama. Baginda pernah bersabda, "Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat."

Ketika Rasulullah saw. mendengar tindakan Khalid itu, beliau bertanya, ''Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengannya?"

Alangkah indah dan hebatnya pertanyaan ini. Kemarahan Rasulullah pun mereda ketika para sahabat menjawab, "Ada. Salim Maula Abu Hudzaifah."

Salim menjalani kehidupannya bersama Rasulullah dan kaum muslimin. Beliau tidak pernah tertinggal satu peperangan pun. Beliau juga tidak pernah berhenti beribadah. Persaudaraannya dengan Abu Hudzaifah pula semakin hari semakin erat.

Waktu terus berjalan.

Setelah Rasulullah pulang ke rahmatullah, Khalifah Abu Bakar menghadapi pengkhianatan jahat orang-orang murtad. Lalu, tibalah saatnya peperangan Yamamah, suatu pertempuran yang sangat dahsyat, yang belum pernah dialami oleh kaum muslimin sebelumnya.

Kaum muslimin berperang, tidak ketinggalan Salim dan saudara seakidahnya, Abu Hudzaifah. Pada awal peperangan, kaum muslimin ditimpa kekalahan, sehinggakan setiap pejuang muslim merasakan bahwa menang dalam peperangan ini merupakan suatu tanggungjawab terhadap diri masing-masing.

Khalid bin Walid mengumpulkan mereka lalu mengatur strategi baru yang hebat. Dua saudara ini , Abu Hudzaifah dan Salim, berpelukan dan saling berjanji dan bersiap sedia untuk syahid demi Islam yang telah memberi mereka kebahagiaan dunia dan akhirat. Lalu kedua-dua mereka menceburkan diri dalam kecamuk perang yang dahsyat itu.

Abu Hudzaifah berseru, "Wahai Ahlul Qur'an, hiasilah Al Qur'an dengan tindakan kamu," sementara pedangnya menyabit ke sana dan ke mari seperti angin taufan yang memporak-perandakan pasukan Musailamah al Kazzab.

Salim pun berseru, "Seburuk-buruk Ahlul Qur'an ialah diriku, jika kaum muslimin mendapat serangan dari arahku." Jangan berkata begitu, wahai Salim! Kerana sebaik-baik Ahlul Qur'an ialah dirimu.

Pedangnya bagai menari-nari, menebas kepala orang-orang murtad yang hendak mengembalikan jahiliah Quraisy dan memadamkan cahaya Islam.

Tiba-tiba, sebuah pedang musuh menebas tangannya hingga putus. Pada waktu itu, beliau memegang panji kaum Muhajirin menggantikan Zaid bin Khattab yang telah gugur mendahuluinya. Mengetahui tangan kanannya putus, beliau segera mendapatkan bendera dengan tangan kirinya dan terus mengibarkannya sambil membaca firman Allah,

"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama orang yang bertakwa yang jumlahnya besar. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah. Mereka tidak lesu dan tidak menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar." (Ali Imran, 3:146)

Alangkah mulianya semboyan ini. Inilah semboyan yang dipilih oleh Salim ketika ajal menjemputnya.

Sekumpulan tentera murtad mengepung dan menyerangnya. Salim akhirnya rebah. Namun ruhnya masih belum mahu meninggalkan tubuhnya yang suci, meskipun perang sudah tamat dengan matinya Musailamah aI Kazzab dan kekalahan pasukannya. Perang ini tamat dengan kemenangan kaum muslimin.

Ketika kaum muslimin mencari-cari anggota pasukan mereka yang gugur, mereka mendapati Salim sedang nazak. Beliau bertanya kepada mereka, "Bagaimanakah nasib Abu Hudzaifah?"

Mereka menjawab, "Beliau telah syahid."

Beliau berkata, "Baringkan aku di sampingnya."

"Beliau di sampingmu, wahai Salim. Beliau gugur di tempat itu."

Salim tersenyum. Dan itulah senyumannya yang terakhir. Beliau sudah tidak berkata-kata. Beliau dan rakan rapatnya itu telah mencapai cita-cita yang mereka dambakan selama ini.

Kedua-duanya masuk Islam bersama.

Hidup bersama.

Dan syahid bersama.

Sungguh, satu perjalanan hidup dan nasib yang menakjubkan.

Salim telah pergi menghadap Allah. Kaum muslimin kehilangan seorang tokoh besar yang sangat dikagumi Umar. Sebelum meninggal dunia, Umar pernah berpesan, "Seandainya Salim masih hidup, pasti aku akan serahkan urusan khilafah kepadanya setelah kematianku."

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: Disember 2009 | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top