Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Betapa takutnya salafus soleh kepada Allah

MUKADDIMAH

Kebanyakan manusia melakukan ibadat tanpa ada perasaan takut kepada Allah. Ibadah mereka seumpama kotak yang tidak berisi. Perasaan takut dan gentar hati adalah sifat orang berIman yang tulen. Firman Allah swt:

" Sesungguhnya orang-orang beriman itu hanya orang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah Iman mereka bila dibacakan ayat-ayat Allah dan mereka berserah diri kepada tuhan mereka." (2 : al-Anfal)

Oleh bagi memotivasikan diri kita agar kita dapat menanam perasaan takut dan gentar kepada Allah, saya hidangkan beberapa kisah para sahabat dan ulama yang diri mereka amat takut kepada Allah.


1. SAMMAH رحمه الله

Pada suatu hari Sammah رحمه الله bermuhasabah dirinya. Dia mengira umurnya sudah menjangkau 60 tahun. Lalu dia membilang hari-hari yang telah dilaluinya , dia mendapati sudah 21 ribu hari. Lalu dia berkata:

يا ويلتى لو لم يكن في كل يوم سوى ذنب واحد لكان أمرا عظيما فكيف ولي في كل يوم عشرة ألاف ذنب؟

" Alangkah celakanya, kalau aku hanya buat satu dosa sahaja sehari dosaku sudah amat besar dan banyak dosaku. Bagaimana pula kalau aku mempunyai sehari 10,000 dosa?"

Kemudian dia terus menjerit dan jatuh pengsan. Bila orang-orang lain mengejutkannya, mendapati dirinya sudah mati.

2. MUHAMMAD BIN WASIE'

Ketika Muhammad bin wasi' رحمه الله dalam keadaan sakit tenat, ramai manusia yang menziarahinya. Ada yang berdiri dan ada yang duduk. Beliau berkata kepada seorang sahabatnya:

أخبرني ما يغني هؤلاء عني إذا أخذ بناصياتي وقدمي غدا وألقيت في النار؟ ثم تلا هذه الأية يعرف المجرمون بسيماهم فيؤخذ بالنواصي والأقدام


"Beritahu aku, apakah mereka semua ini boleh membantu aku ketika malaikat menyentap ubun2 dan kedua kaki ku dan aku dicampakkan ke dalam api neraka pada hari kiamat kelak? Kemudian beliau membaca ayat ini:

"Orang-orang yang berdosa dikenali dengan tanda-tanda yang ada pada mereka dan akan direntap ubun2 dan kaki mereka." (41 : ar-Rahman)

3. Suatu hari Abu Hurairah ra menangis ketika beliau sakit. Lalu ada orang berkata kepadanya: "Kenapa engkau menangis?" Lalu beliau menjawab:

أما إني لا أبكي على دنياكم هذه
ولكني أبكي لبعد سفري وقلة زادي وأصبحت في صعود مهبطة على جنة ونار فلا أدري إلى أيهما يسلك بي



"Adapaun aku sesungguhnya tidak menangis kerana kehilangan dunia ini, tetapi aku menangis kerana betapa jauh perjalanan ku (di akhirat) dan amat sedikit bekalan ku (amalan ku). Aku seumpama menaiki tempat yang tinggi dan akan jatuh samaada ke neraka atau ke syurga. Aku tidak tahu aku akan terjerumus ke neraka atau masuk ke syurga."

4. SAID BIN 'AMIR RA

Said bin 'Amir ra adalah seorang sahabat yang dilantik Umar ra sebagai pemerintah Syam. Penduduk syam telah mengadu kepada Umar ra tentang Sa'd. Diantaranya ialah Sa'id selalu jatuh pengsan. Lalu Said ra menjawab:

"Sesungguhnya aku kadang-kadang pengsan adalah disebabkan aku dahulu telah melihat pembunuhan Khabib al-Ansari ra di Makkah. Orang-orang Quraisy telah memotong dagingnya hidup-hidup dan menanggungnya diatas batang pokok kurma. Ketika itu mereka bertanya kepadanya "Adakah kamu suka kalau Muhammad ditempatmu sedangkan dirimu selamat sejahtera." Beliau menjawab "


والله ما أحب أني في أهلي وولدي معي عافية الدنيا ونعيمها ويصاب رسول الله صلى الله عليه وسلم بشوكة


"Demi Allah aku sesungguhnya tidak suka bersama anak2 dan isteriku dalam keadaan sihat dan mendapat nikmat sedangkan Rasulullah saw tercucuk duri."

Setiap kali aku teringat peristiwa yang menimpa khabib yang mana ketika itu aku masih musyrik, kemudian aku teringat bahawa aku tidak menolongnya , aku gementar kerana takut dengan azab Allah sehingga aku pengsan."

5. ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Sesungguhnya Abu Bakar as-Siddiq ra ketika dirumahnya telah didatangi oleh seekor burung. Burung itu hinggap di sebatang pokok. Lalu Abu Bakar memandang burung tersebut dan berkata:


طوبى لك يا طير ما أنعمك على هذه الشجرة تأكل من هذه الثمرة ثم تموت ثم لا تكون شيئا ليتني مكانك


" Beruntunglah wahai burung terhadap nikmat pohon yang telah Allah berikan kepada mu. Engkau makan buah dari pohon ini. Kemudian engkau akan mati dan tidak dibangkitkan untuk dipertanggungjawabkan seperti manusia. Alangkah baiknya aku ditempat mu." (Hr Ibnu Abu Dunya)


KESIMPULAN

Walaupun mereka banyak melakukan amal soleh dan sebahgianya yang sudah dijamin syurga seperti Abu Bakar tetapi perasaan takut mereka melebihi segalanya. Mereka amat bimbang tidak diterima amalan mereka. Mereka begitu takut untuk berjumpa dengan tuhan. Balasan mereka adalah syurga seperti mana firman Allah swt:

ولمن خاف مقام ربه جنتان

" Dan sesiapa yang takut untuk berdiri dihadapan tuhannya pada hari kiamat mendapat dua syurga." (46 : ar-Rahman)

Rujukan: Makhawuf as-salihin min adamil qabul al-A'mal oleh Dr Muhammad 'Azzuz, Qasasus Salihin wa dumu'il Abidin oleh Haidar Muhyiddin dan at-Tahzibul Maudu'ie lihilyatul Auliya oleh Muhammad bin Abdullah.
Related Posts with Thumbnails

Golongan yang dimusanahkan Allah dalam al-Quran

Minda Abdul Hadi  ALLAH berfirman yang bermaksud, "Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh, sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-Naml:14)

Lihatlah bagaimana kesudahan Firaun, Namrud, Hamman, Qarun, kaum Luth, 'Ad, Thamud dan lain-lain apabila mereka menentang Allah dan rasul-rasul yang diutuskan di kalangan mereka.

Kesimpulannya yang dimaksudkan dengan ayat ini bahawa golongan munafik dan kuffar tersebut, pandai bermuka-muka pada sepanjang zaman.

Mereka menzahirkan keimanan di hadapan manusia dan menyembunyikan kekufuran jauh di sudut hati mereka. Manusia tidak ketahui Allah Maha Mengetahuinya.

Allah menceritakan perihal mereka ini berpanjangan sehingga hari kiamat di mana ketika mereka berdepan dengan azab mereka turut menzahirkan pendustaan tersebut di hadapan Allah.

Walaupun surah ini berstatus Makkiyah, Allah tidak segan menceritakan sifat munafik yang dizahirkan oleh golongan kuffar Arab di masa itu.

Kemunafikan ini berlaku di kalangan penduduk Madinah dan sekitarnya di kalangan bangsa Arab ketika itu.

Kebiasannya Allah menceritakan sifat-sifat munafik di dalam ayat-ayat yang diturunkan di Madinah (Madaniyyah) tetapi banyak juga ayat yang mengandungi cerita tentang sifat munafik itu, antara lain firman Allah yang bermaksud, "Dan sebenarnya Allah Maha Mengetahui siapakah yang munafik di kalangan hamba-Nya." (Surah al-Ankabut:11)

Oleh kerana itulah Allah SWT menceritakan tantang sifat-sifat munafik golongan kuffar pada hari akhirat ketika telah nyata azab di hadaan mata mereka.

Mereka berkata sama sahaja dengan apa yang mereka perkatakan kepada manusia di dunia dahulu dan menyembunyikan nifak di hati mereka.

Mereka mengaku beriman dan mahu kembali ke dunia semula bukan kerana mereka benar-benar bertaubat dan beriman tetapi kerana mereka takutkan azab api neraka di hadapan mata mereka, tidak lebih dari itu. Apabila jauh daripada azab, akan zahirlah segala isu hati mereka yang mereka rasakan tidak ketahui oleh sesiapa itu.

Kekufuran dan sifat munafik mereka tidak pernah berubah walaupn mereka di kembalikan segala ke dunia.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan kalaulah mereka dikembalikan ke dunia sekalipun tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang daripada melakukannya dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta." (Surah al-An'am: 28)

Mereka itu pembohong besar. Mereka sanggup melakukan pembohongan bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada Allah sendiri.

Allah menjelaskan pendustaan itu dengan ayat terdahulu bagaimana mereka mengatakan bahawa mereka berjanji tidak akan mendustakan ayat-ayat (keterangan) Allah lagi dan menjadi seorang yang benar-benar beriman sekiranya mereka dikembalikan ke dunia semula.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan tentulah mereka akan berkata pula (apabila mereka dikembalikan ke dunia), "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula (sesudah kita mati)."

Mereka tidak percaya kepada hari akhirat. Mereka mendakwa hari akhirat tidak wujud selepas mati. Itu dianggap dongengan atau cerita rekaan Nabi Muhammad s.a.w sahaja walaupun neraka diperlihatkan di hadapan mata mereka dengan nyata, mereka tetap mendustakan kenyataan itu kerana mereka tetap kufur dan munafik.

Kekufuran dan kemunafikan mereka dalah dengan pilihan mereka sendiri dan dengan mempertuhankan hawa nafsu mereka sendiri.

Sebab itulah Allah mengenakan azab kepada mereka berlipat kali ganda, bertambah dari semasa ke semasa.

Padanlah dengan kekufuran mereka selama ini, sifat mereka tidak mahu menerima kebenaran Islam walaupun mereka tidak ada ajaran lain selain Islam yang benar dan sesuai untuk manusia.

Mereka mempunyai cendekiawan yang boleh mengkaji kebenaran agama-agama atau ajaran apa sahaja tetapi sering kali kebenaran itu disembunyikan bahkan dicerca dan dihina begitu rupa oleh mereka yang bergelar oriantalis, ilmuan dan orang bijak pandai.

- Tafsir Surah al-An'am ayat 28
Related Posts with Thumbnails

Orang Berakal Mesti Cari Ilmu

Ilmu mengikut takrif (definisi) Islam ialah pengetahuan dan maklumat secara menyeluruh termasuk perkara ghaibiyyat (perkara yang ghaib). Mengikut takrif masyarakat Barat pula, ilmu hanyalah maklumat yang dapat dikesan oleh pancaindera. Ilmu wahyu yang berkaitan dengan perkara ghaib dianggap bukan ilmu.

Manakala hikmah pula ialah meletakkan sesuatu perkara dengan cara yang betul dan baik.

Ilmu dan hikmah adalah hasil akal, satu kurniaan Allah kepada manusia, ia membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Allah SWT menciptakan sebagai makhluk yang berakal. Allah menyifatkan mereka dengan beberapa ungkapan yang menarik, dengan lafaz Ulil Albab, Ulil Absor dan lain-lain.

Antara perkara penting yang mesti dilakukan oleh akal ialah mencari ilmu. Hikmah dan ilmu dicapai sama melalui kurniaan Tuhan, secara langsung atau secara belajar, atau hasil dari beramal dengan ilmu, juga kajian dan pengalaman.
Nas-nas al-Quran dan al-Hadis telah memberi penekanan dalam perkara ini, Allah SWT telah mengesahkan tentang kurniaan ilmu kepada Nabi Daud a.s iaitu Rasul yang dipilih untuk memimpin kerajaan yang menjadi contoh Hadharah Islamiyyah sebagaimana firman Allah menerusi ayat 251 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Allah mengurniakan kepadanya (nabi Daud) pemerintahan (kerajaan), hikmah (kebajikan) dan mengajarnya (diberi ilmu) daripada apa yang dikehendaki-Nya."

Firmany-Nya lagi menceritakan tentang Nabi Daud dan puteranya Sulaiman a.s: "Dan kepada masing-masing Kami kurniakan hikmah dan ilmu." Ayat 79 surah al-Anbiya.

Allah SWT juga menentukan ayat-ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah berhubung dengan ilmu. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)." - Surah al-Alaq dari ayat 1 hingga 5

Setelah dinyatakan prinsip ilmu, akidah dan akhlak, Allah berfirman kepada rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah)." - Ayat 39 surah al-Isra'.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.

Al-Quran adalah mukjizat dalam bentuk ilmu yang dikurniankan kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia juga mencakupi di dalamnya segala perkara, termasuk perkara yang boleh dikesan oleh akal dan pancaindera manusia, yang mampu dikaji oleh mereka dari masa ke semasa, dan ada perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ia adalah sebahagian daripada ilmu Allah SWT yang tidak terhingga dan terbatas luar daripada kemampuan manusia untuk mengkaji dan memahaminya. Al-Quran adalah petunjuk dalam perkara yang telah diketahui oleh mereka. Petunjuk al-Quran adalah penuh dengan hikmah yang tepat dan betul.

Mengikut ajaran Islam, semua ilmu adalah berasaskan peranan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Islam tidak sama sekali memisahkan antara urusan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.

Semua sudut penghidupan hendaklah berjalan serentak. Ini disebabkan perjalanan hidup manusia memerlukan makanan rohani dan jasmani. Dunia berfungsi sebagai jambatan menuju akhirat, sama ada menuju ke syurga atau neraka.

Kemampuan manusia adalah terhad, mereka memerlukan pertolongan Allah termasuk dalam urusan dunia, sistem pendidikan, dan pelajaran yang mengendalikan segala pengajian hendaklah memenuhi prinsip, objektif dan matlamat pendidikan Islam dengan acuannya yang tersendiri, iaitu membangunkan manusia dengan iman, ilmu dan akhlak seperti yang disebut oleh Jibril a.s ketika menyoal Rasulullah s.a.w dalam hadis yang kedua menerusi hadis 40 Imam an-Nawawi, di mana hadis itu menjurus kepada persoalan Jibril kepada Rasulullah s.a.w mengenai Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Baginda s.a.w telah menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan kepadanya.

Setelah selesai pertanyaan Jibril itu, beliau pun beredar, maka baginda s.a.w memanggil Sayidina Umar bin al-Khattab dan bertanya kepadanya, apakah beliau mengenali orang yang bertanya itu, jawab Umar:" Tidak wahai Rasulullah! Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."

Jawab Nabi s.a.w itulah dia Malaikat Jibril. Dia datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu berkenaan agama kamu."

Inilah acuan yang telah melahirkan Hadharah Islamiyyah yang berjaya, tetapi acuan ini telah ditinggalkan. Pada zaman ini telah berlaku perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Negara-negara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dahulunya adalah kawasan pengembalaan kambing, begitu juga di daerah lain di dunia ini termasuklah Malaysia.

Kini manusia berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi oleh kalangan hartawan jadian untuk menunjuk-nunjuk kemewahan di tengah-tengah lautan manusia yang hidup terbiar dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.

---

Dinukil daripada buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 115-121, terbitan Nufair Street, 2005.
Related Posts with Thumbnails

MENINGKAT DIRI MELALUI MUJAHADAH

PADA adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.

Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”

“Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.


Meskipun sifatnya masih fatamorgana bahkan masih belum apa-apa, sama seperti orang sakit tidak mahu melihat penyakitnya untuk diubati tetapi perhatiannya lebih dahulu mengarah kepada hal-hal yang harus dikerjakan apabila ia sihat. Manusia yang sempurna dalam berfikir serta sempurna dalam perasaan akan melihat keaibannya lebih dahulu demi untuk mencapai keutamaan yang dicita-citakan.

Ulama tasawuf pernah berkata: “Hendaklah kamu mencari istiqamah dan jangan anda mencari karamah, kerana sesungguhnya nafsumu menggugatmu mencari kemuliaan, sedangkan Tuhan-mu menuntut kamu dengan istiqamah. Dan sesungguhnya berada di sisi hak Tuhanmu adalah lebih patut dari beradanya kamu dengan keuntungan diri anda.”

Allah menghendaki agar kita istiqamah pada jalan-Nya dan apabila kita selalu mematuhi kehendak-Nya maka dengan sendirinya Allah akan memberikan kurniaan pula buat kita iaitu keutamaan-keutamaan yang datang apabila amal yang ikhlas telah kita kerjakan. Oleh itu, kita harus mengutamakan hak Allah daripada mendahulukan keuntungan diri dan nafsu kita.
Tahukah anda, jalan apakah bagi kita untuk mengenal segala keaiban-keaiban diri kita dan dapat pula mengatasi semua itu? Imam Al-Ghazali r.a telah menunjukkan jalannya sebagai berikut:


• Hendaklah seseorang itu berada di bawah pimpinan seorang guru, dia dapat melihat kekurangan-kekurangan dan keaiban-keaiban serta penyakit-penyakit murid yang dipimpinnya. Dengan demikian si guru dapat mengeluarkan hukum-hukum atau jalan-jalan apakah yang harus dijalani oleh murid agar penyakit-penyakitnya sembuh.

• Bergaul dengan teman yang mencintai kita dan berhati benar terhadap kita. Bergaul dengan teman itu ertinya, kita dapat diawasi olehnya mengenai hal keadaan kita dan pekerjaan kita. Andainya kita menyimpang dari landasan yang sebenarnya, maka si teman tidak segan-segan menegur dan menasihati.

• Penyakit-penyakit atau keaiban-keaiban orang lain menjadi pengajaran bagi kita, agar kita tidak mengerjakan penyakit-penyakit yang serupa.

• Hendaklah banyak mengambil faedah dari pergaulan sesama kita. Mana yang baik untuk diikuti, maka kerjakanlah. Dan mana yang buruk hindarkanlah, sebab tabiat kemanusiaan antara satu dengan lain kadang-kadang saling berdekatan.

Demikian Imam Al-Ghazali dalam memberikan tuntutan dan nasihat kepada orang-orang sakit di mana segala penyakitnya itu dapat menjauhkannya dari Allah SWT. Bahkan dapat menjatuhkannya ke dalam kemarahan Allah SWT apabila si sakit tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan selaku hamba terhadap Tuhannya.

Justeru, dalam kita menggali telaga kekurangan dan kelemahan yang terhimpun di dasar diri kita, maka lihatlah akan hikmat yang tersembunyi padanya. Jangan kita mengatakan bahawa Allah Ta'ala itu zalim kerana mengurniakan kelemahan pada hamba-Nya, tetapi renunglah bahawa dengan adanya kelemahan itu menjadikan “taqarrub” kita kepada Khaliq lebih bermakna. Maka sewajarnya kekurangan dan kelebihan yang terkumpul pada diri anak adam itu disyukuri untuk menzahirkan rasa kehambaan dan kecintaan kepada Pencipta.
Related Posts with Thumbnails

Kelebihan Ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan.

Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berhasil ditangkapnya.

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," gertak Abu Hurairah.

Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek : "Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan."

Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin ? Hanya saja, cara memang keliru. Mestinya jangan keliru.

Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Maka bertanyalah beliau : "Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?"
Ia mengeluh, "Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu,, lalu dilepaskannya.

"Bohong dia," kata Nabi : "Pada hal nanti malam ia akan datang lagi."

Kerana Rasulullah S.A.W berkata begitu, maka penjagaannya diperketat, dan kewaspadaan pun

ditingkatkan. Dan, benar juga, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Dan kali ini ia pun tertangkap.

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : "Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."

Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun ia kembali dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W,

dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan : "Pencuri itu bohong, dan nanti malam ia akan kembali lagi."

Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintaran penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah dan ia berhasil menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi.

Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapan

Rasulullah S.A.W ? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya ?

"Awas!" katanya dalam hati. "Kali ini tidak akan kuberikan ampun."

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga. "Nah, benar juga, ia datang lagi," katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah
ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.

"Kali ini kau pastinya kuadukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. Lepaskan saya," pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia

tidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata : "Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna."

"Kalimat-kalimat apakah itu?" Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. "Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi :

Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi."

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah S.A.W untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang
pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi.

"Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya.

"Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan," jawab Abu Hurairah. "Kalimat apakah itu?" tanya Nabi.

Katanya : "Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : "Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."

Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W berkata, "Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta." Kemudian Nabi S.A.W bertanya pula :

"Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?"

"Entahlah." Jawab Abu Hurairah.

"Itulah syaitan."
Related Posts with Thumbnails

Manusia Dalam 5 Alam


Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat lihat dengan mata kasar. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya itu akan melalui alam-alam, yang bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.

Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya?


Alam yang pertama

1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.


“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”(Surah Al-A’raaf ayat 172)

Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita zuriat Nabi Adam A.s telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T

Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.

Alam yang kedua

Alam yang kita menjalani hidup di dunia.
Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:

1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.

2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).

3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.

4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.

5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur-umur manusia hingga sedemikan peringkat? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam dapat mempelajari dari pembahagian ini?

Kerana di alam yang kedua inilah alam yang tidak kekal alam yang manusia diminta untuk beramal dan diuji, amalan kita di ambil kira dihisab, oleh itu, maka elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik dan anak-anak kita mula beramal. Bukan kah Nabi Muhammad S.A.W telah memesan umat Islam:

“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”

1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.


Alam yang ketiga

Di alam Barzakh, ketika kita di kubur.

Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur

Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. Dan beliau telah mengkhabar pada umatnya, “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.”

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur. Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:

“Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.”(Al-Mu’minun: 100)

Di alam ini, walau jasad musnah kecuali para wali-wali Allah S.W.T ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

Alam yang keempat

Di Padang Mahsyar

Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.

“ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu datang kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.”(Yassin:51)

Mizan (Amalan ditimbang)

Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la:

“ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barang siapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterangan Kami.” (Al-A’raf:8-9)

Di titian Shirath

Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jambatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.

a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda.
b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.

Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)

Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w

“Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah. Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikan baginya.”

Alam yang Kelima

Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)

Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.

Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang diutuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:

“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.”(Al-Lail: 14-16)

Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaimanayang tersebut di dalam Al-Quran:
“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan."

Nama-nama pintu dan tingkat neraka:

1. Jahannam
2. Saqar
3.Lazha
4.Huthamah
5. Sa’iir
6.Jahim
7. Hawiyah

Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji. Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.

Syurga buat mukmin

Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)

Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w penah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:
a.dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga:

Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:

1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Air mata Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.


Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:

Melihat Allah S.w.t

Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang mana diatas nya terletak Arasy Allah S.w.t dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:
a. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
b. dan menyelamatkan kami dari api neraka?
Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepada Wajah Tuhan Azzawajalla.


Petikan dari buku: Peringatan Tentang Umur Insan oleh Imam Habib Abdullah Haddad
Terjemahan: Syed Ahmad Semait
Related Posts with Thumbnails

Majlis Jamuan Hari Raya

Suasana sekitar majlis jamuan hari raya Darul Mujahidin 2009

Sdr.Che Abd Kadir Abdullah
Tim Pengerusi Perkampungan

Ust. Ramli Sidom
Pengerusi Majlis Jamuan Hari Raya

Ust. Rizuan Rahmat
Ahli Majlis (MDKL) MPP ZON 3

Ucapan Ketua Kampung Bt 9
Hj. Sarwan








Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top