Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Selamat Pengantin Baru

Oleh: Fateh al Qarni
Ahad 1 June 2008

Seluruh ahli jawatankuasa perkampungan Darul
Mujahidin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan Siti Aishah dan Mohd Shah. Yang telah melangsungkan perkahwinannya pada 1 june 2008 hari ahad. Semoga kekal ke anak cucu.



Suasana sekitar majlis perkahwinan

Related Posts with Thumbnails

Islam, Iman , Ihsan

Oleh: Fateh al Qarni

Jumaat 30 May 2008

Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar r.a. Daripada Amirul Mukminin Umar ibnu Khattab, katanya: Sedang kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda-tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun daripada kami yang mengenalinya.

Tiba-tiba dia duduk terlalu dekat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut dengan Rasulullah s.a.w. Dia meletak kedua belah tangannya di atas kedua paha Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa dia Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan yakin bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa pada bulan Ramadan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahilharam sekiranya mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Betul.

Sayidina Umar berkata: Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkannya apa yang ditanya. Dia bertanya lagi, apa dia iman. Sabda Rasulullah s.a.w. iman itu engkau percaya kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul, kepada hari akhirat dan kepada qadar baik dan jahatnya. Dia berkata: Ya, benar!

Dia bertanya lagi, apa dia ihsan. Jawab Rasulullah s.a.w. ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan kiamat, bilakah berlaku kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku tanda-tanda kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang-orang yang bangsat dan papa, bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan gembala-gembala kambing, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.

Sayidina Umar berkata: Kami terdiam. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi. Jawab Umar: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Itulah Jibril, dia datang kepada kamu mengajar tentang agama kamu. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ia merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT di atas muka bumi ini agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah di kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.

Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya? Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi (dengan menamakan sebagai bangunan pencakar langit), begitu sombong dan angkuhnya manusia sedangkan di sana masih ada mereka yang miskin, kebuluran, terbiar sakit yang tidak ada wang untuk membiayai kos perubatan, tidak ada harta untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa puncanya adalah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT.
Manusia telah merosakkan iman, Islam dan ihsan. Iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT. Tetapi hari ini kita melihat umat Islam lemah dan ada yang runtuh musnah. Mereka lari daripada petunjuk Allah SWT dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Allah SWT mengajar mereka dengan kemusnahan itu agar mereka sedar dan insaf.

Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara. Manusia telah meninggalkan syariat Allah SWT dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah-olah lebih pandai daripada Allah SWT. Ada juga yang terlibat dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas-batas syarak. Manakala ihsan itu ialah akhlak dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk-nunjuk Islam tetapi dalam masa yang sama merobek-robekkan Islam. Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga iaitu ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak dan isteri serta sebaliknya. Hubungan keluarga musnah dan hancur. Sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengan Allah, berbangga-bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. telah berlaku. Perhatikanlah dengan hati yang ikhlas.

Firman Allah (maksudnya): Dan apabila Kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampung dan negeri, Kami jadikan orang-orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah Kami, tiba-tiba mereka melakukan kejahatan, maksiat. Maka benarlah ke atas Allah firman-Nya, maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya. (Al-Israk: 16)



Related Posts with Thumbnails

Jangan Bersedih

Oleh: Fateh al Qarni
Jumaat 30 May 2008

Jangan bersedih
, sebab Allah sentiasa membela Anda, para malaikat
selalu memintakan keampunan untuk Anda, orang-orang mukminin bersatu mendoakan diri Anda setiap kali sholat, Nabi memberikan syafaat, dan Al- Qur'an memberikan janji yang baik. Namun di atas segalanya, ada kasih sayang Dzat Yang Maha Pengasih.

Jangan bersedih, sesungguhnya satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipatnya hingga tujuh ratus kali ganda. Bahkan dengan kelipatan yang tidak terhingga. Sedangkan kejahatan itu hanya akan dibalas dengan kejahatan yang serupa, kecuali jika Allah memberikan keampunan. Bukankah Allah memiliki demikian banyak kemurahan yang tidak ada bandingannya?

Jangan bersedih, kerana Anda termasuk pencinta-pencinta tauhid, pembawa agama yang hak, dan ahli kiblat. Dalam diri Anda terdapat dasar cinta kepada Allah dan cinta kepada Rasululah. Anda merasa menyesal saat melakukan dosa, dan gembira saat melakukan kebaikan. Anda memiliki kebaikan tapi tidak menyedarinya.

Jangan bersedih, sebab Anda selalu berada dalam kebaikan, baik dalam keadaan sengsara maupun bahagia, dalam keadaan kaya maupun miskin, dan dalam keadaan tertekan maupun lapang. Sebagaimana Rasulullah bersabda,

"Sungguh unik perkara orang mukmin itu! Semua perkaranya adalah baik. Jika mendapat kebaikan ia bersyukur, maka itu menjadi sebuah kebaikan baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka itu juga menjadi sebuah kebaikan baginya. Dan ini hanya akan terjadi pada orang mukmin.

Petikan Dari Buku La Tahzan
Karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al Qarni

Related Posts with Thumbnails

Hakikat Ilmu Dan Adab-Adab Ulamak

Oleh: Ust. Nik Bakri Nik Mat

Selasa 27 May 2008 - Bahagian 1


Muqaddimah

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم ِعَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Maksudnya:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

(Surah Al-Alaq: 1-5)

Islam merupakan sistem kehidupan yang berasaskan ilmu. Dengan sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya mempelajari ilmu. Maka apabila bercakap soal ilmu di sana ada kaitan dengan orang yang mempelajari ilmu dan yang mengajar ilmu, dengan kata lain ada yang di namakan penuntut ilmu dan guru yang menyampaikan ilmu.

Oleh yang demikian Islam telah menggariskan kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu khususnya ilmu-ilmu yang ada kaitan langsung dengan wahyu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Insya Allah kertas kerja ringkas ini akan membentangkan secara umum pengertian ilmu dan hakikatnya, siapakah ulama’ dan kedudukanya dalam Islam serta kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, semoga ianya menjadi tatapan dan renungan seterusnya menjadi amalan kepada penuntut-penuntut baru khususnya dan penuntut-penuntut lama umumnya.

Ianya adalah bertujuan untuk mencapai keutamaan-keutamaan menuntut ilmu sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama’ pewaris Nabi s.a.w. Keutamaan-keutamaan tersebut adalah:

Pertama : Memperolehi hakikat ilmu yang bermenafaat.

Kedua : Menjadi seorang murid yang benar dan beradab.

Ketiga : Mendapat keberkatan daripada guru dan keberkatan dalam hidup.

Keempat : Memudahkan untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari dan dapat merasakan keberkesanan ilmu pada jiwa.

Kelima : Mendapat kurniaan tambahan ilmu daripada Allah Ta’ala dan mengekalkan ilmu di hati.

Keenam : Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Ketujuh : Mendapat rahmat dan redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Hakikat Ilmu

Islam mempunyai ta’rif dan pengertian yang tersendiri berkaitan dengan ilmu. Bahkan Islam amat memberi penekanan agar setiap penuntut ilmu itu mendapat hakikat ilmu yang dipelajari bukan sekadar pengetahuan atau maklumat semata-mata.

Oleh yang demikian walau apa pun ilmu yang kita pelajari, lebih-lebih lagi bilamana ilmu tersebut bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah ianya amat berbeza daripada apa yang kita faham kerana ilmu ini adalah terlalu bernilai, disebabkan mempunyai hubungan langsung dengan Allah Ta’ala dan RasulNya. Ia juga mepunyai kaitan yang amat rapat dengan ulama’ yang menjadi perantara kepada ilmu selaku pewaris kepada Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian jangan kita bersikap sebarangan bilamana kita ingin menuntut ilimu-ilmu yang sedemikian. Maka, marilah kita sama-sama memahami dan mendalami secara umum hakikat ilmu dan ulama’ untuk menjadi panduan kepada kita semua insya Allah.

Di antara pengertian ilmu sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud r.a:

لَيْـسَ الْـعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ إِنَّمَا الْـعِلْمُ نُوْرٌ يُقْذَفُ فِي الْـقَلْبِ

Maksudnya:

“Bukanlah dinamakan ilmu dengan banyaknya riwayat akan tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan/dikurniakan oleh Allah di dalam hati”.(1)

Begitu juga Al-Imam Asy-Syafie telah menceritakan ketika beliau mengadu kepada gurunya Al-Imam Waqi’ tentang buruknya hafalan beliau. Maka Al-Imam Asy-Syafie berkata:

فَـأَرْشَـدَنِي أَنْ تَرْكَ الْمَعَـاصِى لِأَنَّ الْـعِلْمَ نُـوْرٌ وَنُـوْرُ اللَّهِ لاَ يُهْدَى لِلْعَاصِى

Maksudnya:

“ Beliau menasihatiku supaya meninggalkan maksiat. Kerana ilmu itu adalah nur (cahaya). Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada ahli maksiat”.



Related Posts with Thumbnails

Dialog Imam Abu Hanifah Dengan Seorang Ateis

Oleh: Fateh al Qarni

Jumaat 23 may 2008


Dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.


Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat.
(Al-Mujadalah: 11)

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?”
Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk. Tidak boleh kita mengatakan Allah tempatnya di langit atau duduk di arasyh sebab Allah yang maha suci dari sesuatu tidak bertempat dan tidak mengambil tempat seperti makhluk, jika betul sebagaimana yang dikatakan oleh sesetengah puak yang melampau Allah duduk atas arasyh satu persoalan kita boleh bangkitkan, dimanakah Allah sebelum terciptanya Arasyh.?

Sebenarnya persoalan atau pertanyaan 'Di Mana.?' atau dalam bahasa arabnya ' Aina ?' tidak layak ditanya dan diguna pakai kepada Allah yang Maha suci, di mana berarti memerlukan jawapan tempat atau lokasi kepada kata tanya, Allah itu wujud sebelum terciptanya tempat dan sebelum adanya masa...sebagaimana mafhum dari kata ulama "Allah itu benar wujudNya, wujudnya Allah tidak berhajat kepada tempat sebagaimananya makhluk, wujudnya Allah meliputi ilmu yang layak bagiNya sahaja mengetahui, Allah wujud sejak azali sebelum terciptanya tempat dan masa....."wallhuaklam.



Related Posts with Thumbnails

Allah Maha Adil

Oleh: Fateh al Qarni

Rabu 21 may 08

Allah menjadikan manusia dan bumi, sebagai tempat kediamannya. Allah juga pencipta segala bahan-bahan alam yang mempunyai hubungan dengan manusia. Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja. Antara keadilan Allah yang maha tinggi pada manusia adalah memikul amanah di dunia. Mereka bertanggungjawab di atas apa yang dilakukan sebagaimana ajaran yang mengatur seluruh kejadian mereka yang meliputi rohani, jasmani, indvidu, masyarakat, moral dan material.

Perlu dijelaskan perbezaan antara kebenaran dan kesesatan, hak dan batil yang memberi manfaat dan memudaratkan. Seterusnya natijah daripada apa yang dilakukan oleh mereka sama ada ke syurga ataupun ke neraka. Agama Islam ialah penyuluh bagi manusia mengenail Tuhan pencipta alam. Manusia pula disuruh mengabdikan diri dan mengikut segala petunjuk Allah. Tujuannya supaya mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Allah melahirkan para nabi bagi mengajak manusia dan juga pemimpin mereka ke arah kebenaran, bermula daripada Nabi Adam dan keturunannya yang pertama. Seterusnya, diteruskan oleh nabi-nabi yang lain sehingga Nabi Muhammad, nabi akhir zaman.

Islam dibawa oleh rasul-rasul bagi menyelamatkan manusia supaya tidak terpesong daripada jalannya yang sebenar seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 213,

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Pada mulanya manusia itu ialah umat Yang satu (menurut ugama Allah Yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang Yang beriman Dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar Dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci Yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa Yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada Yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang Yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab suci itu, Iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang Yang beriman ke arah kebenaran Yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), Dengan izinNya. dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Ayat ini menyatakan manusia pada asalnya mengikut petunjuk agama sebenar. Mereka bertelingkah lalu melakukan kejahatan di bumi dengan menentang jalan yang sebenar. Ada di antara mereka mencipta jalan sendiri. Kekufuran dan tipu daya syaitan menyebabkan mereka lupa atau sengaja melupakan jalan Allah. Maka Allah melahirkan para nabi supaya mengembalikan mereka ke jalan yang benar di samping memberi khabar gembira dan peringatan.

Menurut laporan Ibnu Abbas jarak masa di antara Nabi Adam dan Nabi Nuh adalah 10 kurun. Dalam jangka masa itu manusia masih berada di jalan yang benar. Apabila berlaku penyelewengan, lalu Allah mengutuskan Nabi Nuh. Kemudian diikuti rasul-rasul yang silih berganti. Mereka membawa syariat Allah menurut keperluan umat dan masa. Akhirnya dibangkitkan nabi kita, Muhammad. Nabi Muhammad diutus bagi seluruh pelusuk dunia. Nabi Muhammad diutus semasa suasana benar-benar memerlukannya bagi menghadapi dunia akhir zaman. Beliau diutus menghadapi dunia dengan ciptaan baru yang mencabar seluruh kehidupan di bumi Allah ini.

Petikan dari kitab

Muqaddimah Aqidah Muslimin

Related Posts with Thumbnails

Islam Adalah Penyerahan Diri

Oleh: Fateh al Qarni

Isnin: 190508

Islam ialah agama rasul-rasul dan nabi-nabi sejak Nabi Adam sehingga nabi akhir zaman, Muhammad. Allah menjelaskan perkara ini dalam surah Ali Imran, ayat 19,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Allah menerangkan lagi dalam surah Ali Imran, ayat 67,

(مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٦٧

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang Yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”

Allah menjelaskan lagi dalam surah al-Maidah, ayat 44,

يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا

“Dengan kitab ini (Taurat) berhukum dengannya oleh para nabi yang menyerah diri kepada Allah (Islam).”

Islam bermakna menyerah diri kepada Allah. Taat pada perintah dan larangannya melalui wahyu. Para nabi dan rasul adalah orang yang pertama menyerah diri kepada Allah. Manusia diperintahkan mengikut nabi dan rasul supaya mereka sama-sama patuh dan menyerah diri kepada Allah. Tanpa penyerahan diri kepada Allah, mereka masih tidak dianggap Islam kerana Allah mengingatkan kita dalam surah an-Nisa’, ayat 65,

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya.”


Petikan dari kitab

Muqaddimah Aqidah Muslimin


Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top