Oleh: Ust Nik Bakri Nik Mat
Isnin
Pengertian Adab
Adab ialah kalimah masdar daripada ‘Aduba’ yang bermaksud keelokan jiwa dan akhlak.
Adab dari segi istilah suatu perkara yang menghasilkan akhlak (budi pekerti) yang baik kepada diri atau jiwa manusia dan adab juga sesuatu yang menghasil ilmu yang dituntut oleh manusia.
Kedudukan Adab Dalam Islam
Adab merupakan perkara yang amat besar nilainya dan amat tinggi kedudukanya di sisi Islam. Tanpa adab, kehidupan dan ibadat kita tidak akan dinilai dengan sempurna oleh Allah Ta’ala.
Nabi s.a.w bersabda:
أَدَّبـَنِـي رَبِّـي فَـأَحْسَــنَ تَـــأْدِيْـبِـي
Maksudnya:
“Tuhanku yang mendidik adabku, maka akulah orang yang paling baik adab”.
Berkata Al-Imam Al-Habib Al-Allamah Ahmad bin Zin Al-Alawi Al-Husaini:
وَاعْلَمْ أَنَّ الدِّيْنَ كُلَّهُ آدَابٌ فَلِكُلِّ عَمَلٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ حَالٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ مَـقَامٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ وَقْتٍ أَدَبٌ كَآدَابِ الْوُضُوءِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَالْعِلْمِ وَالْقِرَاءَةِ وَآدَابِ الْكَسْبِ وَالتَّجْرِيْدِ وَآدَابِ الْفَقْرِ وَالغِنَى .
Maksudnya:
“ Ketahuilah bahawa agama Islam itu semuanya adab. Maka pada setiap amalan terdapat adab dan pada setiap hal keadaan adanya adab dan setiap kedudukan (martabat) padanya adab dan pada setiap masa adanya adab, seperti adab berwudhu’, adab solat, adab puasa, adab berzakat, adab haji, adab menuntut ilmu, adab membaca, adab berzikir, adab al-kasbu dan al-tajrid serta adab fakir dan adab kaya”. (4)
Sabda Nabi s.a.w
أَكْـرِمُوا أَوْلَادَكُمْ فَـأَحْسِـــنُوا أَدَبَـهُـمْ
Maksudnya:
“Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah adab-adab mereka (didiklah mereka dengan adab yang baik)”.
(Riwayat: Imam Ibnu Majah)
Adab Dalam Al-Quran & As-Sunnah
Dalil Pertama
Firman Allah Ta’ala:
قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْداً قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْراً
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْر قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ صَابِراً وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْراًاً
قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً
Maksudnya:
Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, supaya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"
Dia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi/menyeluruh?
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, insyaa Allah: orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".
Dia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya/persoalkan kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
(Surah Al-Kahfi: 66-70)
Mengikut pendapat Al-Imam Al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini, ianya terbahagi kepada dua perkara:
Pertama:
Merujuk kepada ayat 66 iaitu berkaitan dengan pertanyaan Nabi Musa a.s untuk menjadi murid kepada Al-Khidir. Maka berkata Imam Al-Qurtubi: “Ini adalah soalan yang amat sopan dan bahasa yang halus di mana ianya menunjukkan keelokan adab (seorang murid).
Kedua:
Ayat ini menunjukkan satu dalil bahawasanya seorang penuntut mesti patuh atau mengikut orang alim (yang dia jadikan guru- penyusun) sekalipun ada perbezaan dari segi kedudukan.
Contohnya:
Jikalau hendak diukur kedudukan Nabi Musa dengan Al-Khidir sudah tentu Nabi Musa lebih tinggi kedudukannya, kerana Nabi Musa adalah Nabi dan Rasul. Namun dalam persoalan belajar Nabi Musa hendaklah patuh dan merendahkan diri kepada Al-Khidir sebagaimana arahan yang dinyatakan pada ayat 70 di atas. (5)
Dalil Kedua
Persoalan adab dibicarakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a. Ianya berkaitan dengan hadis Islam, Iman dan Ihsan. Dalam sebuah kitab yang bertajuk Al-Wafi Fi Syarhil Matan Arba’in karangan Dr Mustafa Al-Bugha, beliau menyatakan dalam bentuk pangajaran daripada hadis tersebut iaitu:
“Memperkemaskan pakaian dan memperelokan tingkah laku: Sunat memakai pakaian yang bersih dan bau-bauan yang wangi kerana hendak memasuki masjid dan menghadiri majlis ilmu. Dan hendaklah beradab dalam majlis ilmu juga ketika bersama ulama’.
Dalam hadis yang sama adab yang amat tinggi digambarkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a bila mana ditanya oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Wahai Umar, adakah kamu kenal siapkah yang bertanya? Lalu beliau menjawab: “Allah Dan RasulNya lebih mengetahui. (6)
Inilah yang dinamakan adab, iaitu para sahabat tidak mahu sedikitpun menunjukkan sikap lebih pandai atau ingin mendahului Nabi s.a.w. Begitulah sikap yang mesti ada pada kita semua apabila berdepan dengan ulama’ pewaris Nabi s.a.w.
0 ulasan:
Catat Ulasan