Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Perginya Seorang Ulamak

Al Fatihah dan takziah kepada seluruh anggota keluarga Almarhum Dato' Ishak Baharom sekembalinya kerahmatullah pada 30 jan 2008. Sebagaimana kita sedia maklum Almarhun adalah Tuan Guru kepada seluruh penduduk Darul Mujahidin, beliau telah mencurahkan ilmunya kepada kita di Darul Mujahidin telah hampir tujuh tahun. Pada setiap hari khamis minggu kedua kita akan dapat mendengar suara nasihat dari beliau, tapi kini beliau telah dipanggil untuk bertemu dengan Allah SWT. Kali terakhir Almarhum bersama kita pada 10 jan 2008, iaitu pada satu ceramah umum dan solat hajat. Dimana solat hajat tersebut diimam oleh Almarhum sendiri, beliau juga sempat beramah mesra serta menjamu selera bersama beberapa orang sahabat kita di rumah Tuan Haji Roslan Aziz. Itulah saat-saat terakhir beliau bersama kita. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Tuan Guru kita semoga rohnya ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin amin.

Almarhum Dato' Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak.

llahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam.

Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung.

Selepas pemecatan tersebut, Almarhum meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

Almarhum bergiat serius dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura Ulama' PAS sehingga 2007.

Related Posts with Thumbnails

Di Saat Aisyah r.a Di Fitnah

Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w.

Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan.

Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya.

Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan.

Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur.

Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku.

Aku tersedar oleh ucapannya [Inalillahi wa inalilahirajiun] ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya [Inalillahi wa inalilahirajiun] sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik.

Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.

Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit.

Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami.

Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah!

Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar.

Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan?

Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan?

Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu?
Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku?

Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku?

Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya.

Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku?

Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian.

Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik.

Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul.

Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah?

Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya.

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.

Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku.

Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu.

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya!

Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik.

Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam.

Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku.

Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.

Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku.

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya.

Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan.

Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w.

Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w.

Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w.

Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s (Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu).

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t.

Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda.

Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w.

Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat (Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku.

Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a.

Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat (Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu).

Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah.

Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya.

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu?

Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan.

Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku.

Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!

(Riwayat Muslim)
Related Posts with Thumbnails

Hadis Hari Ini

Dari 'Auf bin Malik, katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu, juga yang kamu doakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua."

"Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu benci dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang kamu laknati mereka dan mereka pun melaknat kamu semua."

'Auf berkata, kita para sahabat lalu berkata, "Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu?"

Beliau s.a.w. bersabda, "Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua."

(Riwayat Muslim)
Related Posts with Thumbnails

Sumayyah binti Khayyath - Wanita Pertama Syahid di Jalan Allah



Sumayyah binti Khayyath, syahidah pertama umat Islam yang menumpahkan darahnya demi mempertahankan keimanannya bersama suami dan anak lelakinya. Teladan istimewa yang wajar dikenang sepanjang zaman.

Sumayyah binti Khayyath adalah seorang hamba sahaya milik Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah. Oleh tuannya, ia dikahwinkan dengan seorang lelaki asal Yaman yang bernama Yasir bin Amir yang merupakan perantau di kota Makkah. Kerana banyak mendapat halangan, Yasir meminta perlindungan kepada Abu Hudzaifah yang merupakan kepala suku Bani Makhzum.

Hasil perkahwinannya dengan Yasir bin Amir, Sumayyah dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ammar bin Yasir. Melalui anak lelakinya inilah, pasangan Yasir dan Sumayyah mengenali agama Islam.

Suatu hari, Ammar yang mula menginjak usia remaja mendengar khabar tentang kedatangan nabi baru yang membawa ajaran Tuhan. la pun segera mencari dan ingin membuktikan khabar tersebut. Sebaik sahaja mengenali Rasulullah s.a.w., Ammar pun terus jatuh hati dan langsung mengucapkan ikrar syahadatnya.

Mendapat khabar gembira, Ammar segera menceritakan kepada ayah bundanya. Berbeza dengan kebanyakan orang Quraisy yang anti bahkan memusuhi Islam, Yasir dan Sumayyah justeru menyambut gembira khabar gembira ini. Bahkan mereka kemudian mengikuti jejak Ammar untuk bersyahadat dan menjadi Muslim dan Muslimah.

Keislamanan yang awalnya disembunyikan akhirnya diketahui juga. Mendengar cerita bahawa keluargaYassir ini memeluk agama Islam menimbulkan kemarahan Abu Hudzaifah. la memaksa supaya keluarga ini meninggalkan Islam dan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang menyembah latta dan uzza. Namun ketiganya berkeras mempertahankan keyakinan mereka.
Seperti yang dialami oleh golongan awal yang memeluk Islam, Yasir, Sumayyah, dan Ammar mengalami banyak sekali halangan dan cubaan. Hal ini ditambah lagi kerana status keluarga mereka yang bukan daripada kalangan bangsawan Quraisy. Akibatnya penderitaan yang mereka alami keterlaluan dan mereka diseksa dengan kejam melampaui batasan kemanusiaan.

Orang yang paling kejam menyeksa mereka adalah orang-orang yang selama ini melindunginya iaitu daripada kalangan Bani Makhzum yang dipimpin Abu Hudzaifah. Sumayyah yang merupakan seorang wanita, dihumban ke atas pasir, lalu tubuhnya ditimbus dengan pasir yang sangat panas.

Seakan belum puas hati, dada Sumayyah kemudiannya dihimpit dengan batu besar supaya ia tidak dapat bernafas. Lalu mereka memaks Sumayyah untuk mengimani berhala-berhala nenek moyang mereka. Namun wanita solehah ini tetap bertahan dengan keyakinannya kerana ingat janji Allah SWT bagi hamba-Nya yang bertakwa, iaitu syurga.

Yasir, Sumayyah, dan Ammar terus mendapatkan seksaan yang sedemikian keji. Mereka didera, dicambuk, disalib di padang pasir yang terik, ditindih dengan batu panas, dibakar dengan besi panas, bahkan sampai ditenggelamkan ke dalam air hingga sesak nafasnya dan mengelupas kulitnya yang penuh dengan luka.

Suatu hari ketika Ammar sudah tidak mampu untuk menanggung penyeksaan, ia kemudian mengadu pada Rasulullah s.a.w. mengenai keadaannya. Rasul yang setiap hari datang memberikan sokongan lantas berseru, "Sabarlah, wahai keluarga Yasir. Tempatyang dijanjikan bagi kalian adalah syurga."

Sekalipun berat seksaan yang diterima, namun ketiganya tetap mempertahankan keislamannya.
Ketika berada dalam keadaan sedar, tidak ada satu pun kalimat yang teriontar dari mulut ketiganya kecuali kalimat "Ahad..Ahad.." seperti yang dilontarkan Bilal bin Rabah. Hal ini semakin meningkatkan amarah orang Quraisy kerana gagal melunturkan keimanan mereka.

Hingga suatu ketika, orang Quraisy berasa putus asa dengan keteguhan iman ketiganya, mereka memutuskan membunuh Sumayyah. Adalah Abu Jahal yang melaksanakan perbuatan keji tersebut. Dengan tombaknya yang runcing, Abu Jahal menjadikan Sumayyah mujahidah pertama yang gugur di jalan Allah apabila tombak tersebut menembusi dada Sumayyah.

Menjelang wafatnya, tidak sedetik pun Sumayyah menggadaikan keimanannya. Sumayyah binti Khayyath simbol ketabahan hati, kekuatan iman, dan ketangguhan jiwa seorang mujahidah. la rela mengorbankan segala-galanya, termasukjiwa dan raganya demi Islam.

Sumayyah binti Khayyath syahid dengan meninggalkan teladan yang luar biasa. Tidak hairan ia menjadi wanita yang sangat mulia dengan keberanian dan ketabahannya. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman" sedang mereka tidak diuji lagi?" (Surah Al Ankabut, ayat 2).


Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH.. SYUKUR DI ATAS NIKMAT PANCAINDERA-MU..

YA ALLAH.. SYUKUR DI ATAS NIKMAT PANCAINDERA-MU..

Dengan penglihatan
Aku dapat melihat segala kekuasaan-MU,
Mengagumi segala kebesaran-Mu

Namun..

Dengannya jualah aku melakukan kemungkaran pada-MU,
Menjerumuskan diriku ke lembah dosa,
Melihat pada yang tak sepatutnya,
Membuatkan diri ini alpa saat hidayah-Mu tiba.

Seketika kutersedar…

Mungkin belum terlambat,
Untukku pahatkan dalam diri,

Bahawa.. Aku mahu berubah!!!

Ya Allah,
Jika dulu aku angkuh di bumi-MU,

Alhamdulillah..
Hidayah-MU mematahkan keangkuhanku,
Membangunkan sifat malu,
Yang selama ini tersorok dalam diri,
Kutundukkan pandanganku,
Yang selama ini meliar!
Kutimbulkan kekeliruan pada teman-teman,
Kutempis segala teguran sinis,
Kutekadkan dalam kalbuku,

Bahawa… Aku mahu berubah!! !

Ya Allah,
Jika dulu aku lalai dalam menunaikan hak-MU,
Terleka dengan duniawi,
Terkadang kuabaikan ukhrawi,

Subhanallah,
Sesungguhnya kekuasaan-MU yang paling Agung,
Kau sedarkanku di saat aku hanyut,
Masih tak terlambat,
Untuk suatu perubahan,
Kuakur pada kekuasaan-MU,

Lantas,
Kulaungkan dalam hatiku,
Aku mahu berubah!!!

Ya Allah,
Kupohon hidayah-MU,
Duhai ayahanda dan bonda,
sahabat-sahabat,
serta teman-teman,

Bantulah daku,
Bimbinglah daku,
Dalam mencari,

Cinta yang paling Agung,
Cinta yang Esa,

Sesungguhnya,

Related Posts with Thumbnails

Khaulah bt Tsa’labah

Khaulah bt Tsa’labah

Khaulah Binti Tsa’labah

(Wanita Yang Aduannya Didengar Allah Dari Langit Ketujuh)

Beliau adalah Khaulah binti Tsa`labah bin Ashram bin Fahar bin Tsa`labah Ghanam bin ‘Auf. Beliau tumbuh sebagai wanita yang fasih dan pandai. Beliau dinikahi oleh Aus bin Shamit bin Qais, saudara dari Ubadah bin Shamit r.a yang beliau menyertai perang Badar dan perang Uhud dan mengikuti seluruh perperangan yang disertai Rasulullah saw. Dengan Aus inilah beliau melahirkan anak laki-laki yang bernama Rabi`. Khaulah binti Tsa`labah mendapati suaminya Aus bin Shamit dalam masalah yang membuat Aus marah, dia berkata, “Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku.” Kemudian Aus keluar setelah mengatakan kalimat tersebut dan duduk bersama orang-orang beberapa lama lalu dia masuk dan menginginkan Khaulah. Akan tetapi kesadaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah terhadap kejadian yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam. Khaulah berkata, “Tidak…jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku karena engkau telah mengatakan sesuatu yang telah engkau ucapkankan terhadapku sehingga Allah dan Rasul-Nya lah yang memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita.

Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw, lalu dia duduk di hadapan beliau dan menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Keperluannya adalah untuk meminta fatwa dan berdialog dengan nabi tentang urusan tersebut. Rasulullah saw bersabda, “Kami belum pernah mendapatkan perintah berkenaan urusanmu tersebut… aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya.” Wanita mukminah ini mengulangi perkatannya dan menjelaskan kepada Rasulullah saw apa yang menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus cerai dengan suaminya, namun rasulullah saw tetap menjawab, “Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya”. Sesudah itu wanita mukminah ini senantiasa mengangkat kedua tangannya ke langit sedangkan di hatinya tersimpan kesedihan dan kesusahan. Pada kedua matanya nampak meneteskan air mata dan semacam ada penyesalan, maka beliau menghadap kepada Yang tiada akan rugi siapapun yang berdoa kepada-Nya. Beliau berdo’a, “Ya Allah sesungguhnya aku mengadu kepada-Mu tentang peristiwa yang menimpa diriku”.

Alangkah bagusnya seorang wanita mukminah semacam Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa, adapun istighatsah dan mengadu tidak ditujukan melainkan untuk Allah Ta`ala. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhidnya yang telah dipelajari oleh para sahabat kepada Rasulullah saw. Tiada henti-hentinya wanita ini berdo`a sehingga suatu ketika Rasulullah saw pingsan sebagaimana biasanya beliau pingsan tatkala menerima wahyu. Kemudian setelah Rasulullah saw sadar kembali, beliau bersabda, “Wahai Khaulah, sungguh Allah telah menurunkan al-Qur`an tentang ditimu dan suamimu kemudian beliau membaca firman-Nya (artinya), “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan [halnya] kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,…sampai firman Allah: “dan bagi oranr-orang kafir ada siksaan yang pedih.”(Al-Mujadalah:1-4) Kemudian Rasulullah saw menjelaskan kepada Khaulah tentang kafarat (tebusan) Zhihar: Nabi : Perintahkan kepadanya (suami Khansa`) untuk memerdekan seorang budak Khaulah : Ya Rasulullah dia tidak memiliki seorang budak yang bisa dia merdekakan. Nabi : Jika demikian perintahkan kepadanya untuk shaum dua bulan berturut-turut Khaulah : Demi Allah dia adalah laki-laki yang tidak kuat melakukan shaum. Nabi : Perintahkan kepadanya memberi makan dari kurma sebanyak 60 orang miskin Khaulah : Demi Allah ya Rasulullah dia tidak memilikinya. Nabi : Aku bantu dengan separuhnya Khaulah : Aku bantu separuhnya yang lain wahai Rasulullah. Nabi : Engkau benar dan baik maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kafarat baginya, kemudian bergaulah dengan anak pamanmu itu secara baik.”

Maka Khaulah pun melaksanakannya. Inilah kisah seorang wanita yang mengajukan gugatan kepada pemimpin anak Adam a.s yang mengandung banyak pelajaran di dalamnya dan banyak hal yang menjadikan seorang wanita yang mengangkat kepalanya tinggi-tinggi dengan bangga dan perasaan mulia dan besar perhatian Islam terhadapnya. Ummul mukminin Aisyah ra berkata tentang hal ini, “Segala puji bagi Allah yang Maha luas pendengaran-Nya terhadap semua suara, telah datang seorang wanita yang mengajukan gugatan kepada Rasulullah saw, dia berbincang-bincang dengan Rasulullah saw sementara aku berada di samping rumah dan tidak mendengar apa yang dia katakan, maka kemudian Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat, “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang memajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya dan mengadukan (halnya) kepada Allah…” (Al-Mujadalah: 1) Inilah wanita mukminah yang dididik oleh Islam yang menghentikan Khalifah Umar bin Khaththab r.a saat berjalan untuk memberikan wejangan dan nasehat kepadanya. Beliau berkata, “Wahai Umar aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukazh engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, ketahuilah barangsiapa yang takut akan siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya dan barangsiapa yang takut mati maka dia kan takut kehilangan dan barangsiapa yang yakin akan adanya hisab maka dia takut terhadap Adzab Allah.” Beliau katakan hal itu sementara Umar Amirul Mukminin berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataannya.

Akan tetapi al-Jarud al-Abdi yang menyertai Umar bin Khaththab tidak tahan mengatakan kepada Khaulah, “Engkau telah berbicara banyak kepada Amirul Mukminin wahai wanita.!” Umar kemudian menegurnya, “Biarkan dia…tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ketujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya. ” Dalam riwayat lain Umar bin Khaththab berkata, “Demi Allah seandainya beliau tidak menyudahi nasehatnya kepadaku hingga malam hari maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu shalat maka aku akan mengerjakan shalat kemudian kembali mendengarkannya sehingga selesai keperluannya.” (SUMBER: buku Mengenal Shahabiah Nabi SAW., karya Mahmud Mahdi al-Istanbuly dan Musthafa Abu an-Nashar asy-Syalaby, h.242-246, penerbit AT-TIBYAN)
Related Posts with Thumbnails

Dari Lajnah Tarbiyah & Dakwah

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Semoga rahmat dan salam tetap tercurah

kepada junjungan kita nabi Muhammad beserta

keluarga dan shabat beliau.

Yaa Allah ya Tuhanku,

Engkau adalah Dzat Yang Maha

Kekal, dahulu dan awal,

Hanya dengan anugerah dan kemurahan-Mu yang Agung telah

datang tahun baru.

Di tahun ini kami memohon pemeliharaan-Mu dari syetan,

kekasihnya dan bala tentaranya,

dan kami mohon pertolongan-Mu atas nafsu yang

mengajak kepada kejelekan,

dan kami mohon kesibukan dengan perbuatan yang dapat

mendekatkan diri kepada-Mu wahai Dzat Yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.

Semoga rahmat dan salam Allah tetap tercurahkan kepada junjungan kita Nabi

Muhammad SAW beserta keluarga dan sahabat beliau..

Aamiin....

Related Posts with Thumbnails

Perutusan Hijratul Rasul Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Perutusan Hijratul Rasul Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Rizal Tahir
Wed | Jan 09, 08 | 12:38:09 pm MYT

Hijrah biasanya difahami sebagai berlakunya peristiwa perpindahan Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan para Sahabat r.a dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah, meninggalkan segala harta benda yang sangat disayangi.

Antaranya rumah tangga, kebun halaman, kedai-kedai perniagaan, binatang-binatang ternakan dan segala aset hidup, dengan bergadai nyawa melintasi padang pasir pergi ke destinasi baru 'Madinatul Munawwarah' tanpa sebarang cagaran hidup, selain daripada keyakinan untuk menyebarkan Islam serta mendaulatkan sistem hidup berkerajaan.

Kota Madinah pada ketika itu merupakan tempat yang paling sesuai bagi mendaulatkan Islam kerana penduduknya lebih memahami selok belok agama wahyu, sebab mereka biasa menerima maklumat daripada kaum Yahudi tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. melalui Kitab Suci Taurat.

Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu.

Semangat ini tetap menjadi agenda ajaran Islam sehingga ke hari kiamat kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): "Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah".

Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip 'ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqan.

Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus jenis pembaharuan.

Di antaranya ialah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan sendiri dengan tujuan untuk mencetuskan pengertian bahawa Al-Quranul Karim dan sains perlu bahu membahu.

Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah:

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada keperibadian dan kepimpinan Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan syurga) di akhirat serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (baik semasa susah mahupun semasa senang)." - (Surah al-Ahzab: 21).

Dengan ketetapan inilah kita pegang kemas-kemas tali Allah ini walaupun terpaksa mendaki gunung dan menurun lurah dengan berbekalkan doa, semoga anugerah Ilahi ini dikekalkan berterusan, dengan ingatan syarat-syarat makbul doa iaitu:

"Hendaklah kamu tetap menjalankan perintahku secara berterusan (dengan penuh istiqamah) dan janganlah kamu mengikut jalan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan (mengenai janji-janjiKu di akhirat)". - (Surah Yunus: 89).

Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma'ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan daya kepimpinan yang cemerlang.

Lantaran inilah telah diriwayatkan bahawa: "Sesungguhnya as-Sultan atau pihak pemerintah itu merupakan bayangan Allah di muka bumi ini".

Lantaran inilah juga terdapat ulama Salafus Soleh seperti al-Fudhail bin 'Iyadh, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi yang mengatakan:

"Sekiranya kami memiliki suatu peluang keramat, apabila berdoa terus diperkenankan oleh Allah, pastilah kami akan pergunakan peluang doa keramat tersebut kepada pihak pemerintah dan Sultan sesebuah negeri, supaya Allah menganugerahkan hidayah dan taufiq-Nya".

Ini kerana dengan taufiq dan hidayah kepada raja dan pihak pemerintah, banyak pihak dan pelbagai institusi yang wujud dalam sesebuah negara berkenaan akan menjadi baik dan dipantau dengan rahmat Allah S.W.T.

Aamiin, Yaa Rabbal 'Aalamiin.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Related Posts with Thumbnails

Kepentingan Memahami Seerah Rasulullah SAW


09 Januari 2008



Kepentingan Memahami Seerah Rasulullah SAW


I.Muqaddimah

· Tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.

· Kita boleh menyemaknya mulai dari masa pernikahan Abdullah dan Aminah -ayah bunda beliau- sampai dengan wafatnya.

· Kita boleh mengenal jelas waktu kelahirannya, masa kecil dan masa mudanya. Apalagi setelah beliau diangkat sebagai Nabi dan Rasul, dengan terperinci.

· Biografi beliau merupakan sejarah lengkap kehidupan seorang manusia yang dimuliakan dengan risalah Allah, yang tidak terlepas dari sisi-sisi kemanusiaannya.

· Maka sangatlah relevan bila Allah SWT memerintahkan agar individu Muhammad SAW diteladani dan dijadikan rujukan hidup umat manusia.

· Firman Allah : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS. Al Ahzab : 21)

· Kehidupan beliau sangat kompleks, menyangkut segala aspek kehidupan, sehingga tidak ada satu sisi pun dari kehidupan manusia yang terlepas dari sisi kehidupan beliau.

· Beliau adalah seorang suami terbaik dari beberapa orang isteri, seorang ayah terbaik dari beberapa orang anak, seorang datuk terbaik dari beberapa orang cucu, seorang mertua terbaik dari beberapa orang menantu, seorang menantu terbaik dari beberapa orang mertua, seorang pemimpin yang adil, seorang panglima yang cerdas, seorang politikus yang ulung, seorang yang paling sukses dalam dakwahnya, dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak beliau. Firman Allah : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (QS. Al Qalam : 4)

· Biografi beliau juga merupakan petunjuk praktis dan aplikatif bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah (Al Qur’an) di muka bumi ini.

· Aisyah ra. menyimpulkan : “Akhlak Rasulullah adalah Al Qur’an”

· Al Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Apa yang beliau perbuat adalah apa yag beliau fahami dari al Qur’an.”

· Oleh karena itu, memahami biografi beliau merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami Islam itu sendiri, karena ia adalah saksi nyata, saksi hidup dari buah Iman dan keyakinan yang mantap terhadap Dienul Islam, yang terjelma pada sosok pemimpin teladan yang agung, juga tercermin dalam kehidupan generasi pertama yang tumbuh hidup ditangan didikan beliau sendiri.

· Biografi Rasulullah SAW ini kita kenal sekarang dengan istilah Sirah Nabawiyah.
Related Posts with Thumbnails

Ajaran Sesat Zikir Laga Lutut

Oleh pemudawilayah

"
Kumpulan ajaran sesat Zikir Laga Lutut bakal diserbu oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tak lama lagi. kumpulan Zikir ini turut dianggotai tokoh korporat dan orang kenamaan. Kumpulan berkenaan dilabelkan ajaran sesat kerana satu aktiviti ahlinya ialah berzikir yang bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan bersentuhan antara satu sama lain, termasuk lutut.

Mereka berwirid secara berpasangan. Pengikut lelaki dikehendaki duduk secara berlaga lutut dengan pengikut wanita.“Kemudian, tok guru datang dan duduk di tengah-tengah antara mereka sebelum memilih pasangan bagi setiap pengikut lelaki dan wanita. Ketika berwirid, pengikut turut dibenarkan meraba pengikut wanita tanpa halangan bagi membangkitkan keghairahan sebelum tok guru memberikan mereka peluang melakukan hubungan seks bebas. Mereka kemudian dibenarkan melakukan hubungan seks sejurus selesai berwirid.


Tok guru sesat itu akan mengulangi perbuatan sama kepada semua pengikutnya sebelum dia sendiri memilih wanita sesuai untuknya bersetubuh, termasuk isteri pengikut kumpulan terbabit. Bagaimanapun, wanita yang bakal bersama tok guru dimestikan mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berwajah menawan dan memiliki bentuk badan menggiurkan.

Begitulah kisah mereka yang sungguh menghairah mereka-mereka yang bernafsu besar.

Kisah kedua pula tentang satu ajaran baru yang digelarkan sebagai ‘Ajaran kepala lutut’. Pengikut-pengikut ajaran ini dibenarkan melakukan sentuhan sesama lelaki dan perempuan tanpa mengira mahram atau tidak. Walaubagaimana pun, pihak JAKIM ataupun mana-mana Mufti dan Jabatan Agama belum lagi menjatuhkan hukum sesat kepada kumpulan ini kerana belum ada laporan rasmi ahli-ahlinya melakukan seks bebas sebagaimana kumpulan Zikir Laga Lutut.

Walaubagaimana pun terdapat desas desus yang menyatakan bahawa skandal seks turut berlaku, walaubagaimana pun tragedi pengeboman seorang model dari Mongolia telah menakutkan pelapor-pelapor yang enggan tampil kehadapan membuat penyaksian.

Jadi kita tungguhlah tindakan pihak yang berkuasa yang kononnya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah!

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: Januari 2008 | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top