Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Islam, Iman , Ihsan

Oleh: Fateh al Qarni

Jumaat 30 May 2008

Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar r.a. Daripada Amirul Mukminin Umar ibnu Khattab, katanya: Sedang kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda-tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun daripada kami yang mengenalinya.

Tiba-tiba dia duduk terlalu dekat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut dengan Rasulullah s.a.w. Dia meletak kedua belah tangannya di atas kedua paha Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa dia Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan yakin bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa pada bulan Ramadan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahilharam sekiranya mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Betul.

Sayidina Umar berkata: Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkannya apa yang ditanya. Dia bertanya lagi, apa dia iman. Sabda Rasulullah s.a.w. iman itu engkau percaya kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul, kepada hari akhirat dan kepada qadar baik dan jahatnya. Dia berkata: Ya, benar!

Dia bertanya lagi, apa dia ihsan. Jawab Rasulullah s.a.w. ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan kiamat, bilakah berlaku kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku tanda-tanda kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang-orang yang bangsat dan papa, bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan gembala-gembala kambing, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.

Sayidina Umar berkata: Kami terdiam. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi. Jawab Umar: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Itulah Jibril, dia datang kepada kamu mengajar tentang agama kamu. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ia merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT di atas muka bumi ini agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah di kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.

Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya? Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi (dengan menamakan sebagai bangunan pencakar langit), begitu sombong dan angkuhnya manusia sedangkan di sana masih ada mereka yang miskin, kebuluran, terbiar sakit yang tidak ada wang untuk membiayai kos perubatan, tidak ada harta untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa puncanya adalah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT.
Manusia telah merosakkan iman, Islam dan ihsan. Iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT. Tetapi hari ini kita melihat umat Islam lemah dan ada yang runtuh musnah. Mereka lari daripada petunjuk Allah SWT dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Allah SWT mengajar mereka dengan kemusnahan itu agar mereka sedar dan insaf.

Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara. Manusia telah meninggalkan syariat Allah SWT dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah-olah lebih pandai daripada Allah SWT. Ada juga yang terlibat dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas-batas syarak. Manakala ihsan itu ialah akhlak dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk-nunjuk Islam tetapi dalam masa yang sama merobek-robekkan Islam. Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga iaitu ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak dan isteri serta sebaliknya. Hubungan keluarga musnah dan hancur. Sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengan Allah, berbangga-bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. telah berlaku. Perhatikanlah dengan hati yang ikhlas.

Firman Allah (maksudnya): Dan apabila Kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampung dan negeri, Kami jadikan orang-orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah Kami, tiba-tiba mereka melakukan kejahatan, maksiat. Maka benarlah ke atas Allah firman-Nya, maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya. (Al-Israk: 16)



Related Posts with Thumbnails

Jangan Bersedih

Oleh: Fateh al Qarni
Jumaat 30 May 2008

Jangan bersedih
, sebab Allah sentiasa membela Anda, para malaikat
selalu memintakan keampunan untuk Anda, orang-orang mukminin bersatu mendoakan diri Anda setiap kali sholat, Nabi memberikan syafaat, dan Al- Qur'an memberikan janji yang baik. Namun di atas segalanya, ada kasih sayang Dzat Yang Maha Pengasih.

Jangan bersedih, sesungguhnya satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipatnya hingga tujuh ratus kali ganda. Bahkan dengan kelipatan yang tidak terhingga. Sedangkan kejahatan itu hanya akan dibalas dengan kejahatan yang serupa, kecuali jika Allah memberikan keampunan. Bukankah Allah memiliki demikian banyak kemurahan yang tidak ada bandingannya?

Jangan bersedih, kerana Anda termasuk pencinta-pencinta tauhid, pembawa agama yang hak, dan ahli kiblat. Dalam diri Anda terdapat dasar cinta kepada Allah dan cinta kepada Rasululah. Anda merasa menyesal saat melakukan dosa, dan gembira saat melakukan kebaikan. Anda memiliki kebaikan tapi tidak menyedarinya.

Jangan bersedih, sebab Anda selalu berada dalam kebaikan, baik dalam keadaan sengsara maupun bahagia, dalam keadaan kaya maupun miskin, dan dalam keadaan tertekan maupun lapang. Sebagaimana Rasulullah bersabda,

"Sungguh unik perkara orang mukmin itu! Semua perkaranya adalah baik. Jika mendapat kebaikan ia bersyukur, maka itu menjadi sebuah kebaikan baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka itu juga menjadi sebuah kebaikan baginya. Dan ini hanya akan terjadi pada orang mukmin.

Petikan Dari Buku La Tahzan
Karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al Qarni

Related Posts with Thumbnails

Hakikat Ilmu Dan Adab-Adab Ulamak

Oleh: Ust. Nik Bakri Nik Mat

Selasa 27 May 2008 - Bahagian 1


Muqaddimah

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم ِعَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Maksudnya:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

(Surah Al-Alaq: 1-5)

Islam merupakan sistem kehidupan yang berasaskan ilmu. Dengan sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya mempelajari ilmu. Maka apabila bercakap soal ilmu di sana ada kaitan dengan orang yang mempelajari ilmu dan yang mengajar ilmu, dengan kata lain ada yang di namakan penuntut ilmu dan guru yang menyampaikan ilmu.

Oleh yang demikian Islam telah menggariskan kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu khususnya ilmu-ilmu yang ada kaitan langsung dengan wahyu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Insya Allah kertas kerja ringkas ini akan membentangkan secara umum pengertian ilmu dan hakikatnya, siapakah ulama’ dan kedudukanya dalam Islam serta kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, semoga ianya menjadi tatapan dan renungan seterusnya menjadi amalan kepada penuntut-penuntut baru khususnya dan penuntut-penuntut lama umumnya.

Ianya adalah bertujuan untuk mencapai keutamaan-keutamaan menuntut ilmu sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama’ pewaris Nabi s.a.w. Keutamaan-keutamaan tersebut adalah:

Pertama : Memperolehi hakikat ilmu yang bermenafaat.

Kedua : Menjadi seorang murid yang benar dan beradab.

Ketiga : Mendapat keberkatan daripada guru dan keberkatan dalam hidup.

Keempat : Memudahkan untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari dan dapat merasakan keberkesanan ilmu pada jiwa.

Kelima : Mendapat kurniaan tambahan ilmu daripada Allah Ta’ala dan mengekalkan ilmu di hati.

Keenam : Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Ketujuh : Mendapat rahmat dan redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Hakikat Ilmu

Islam mempunyai ta’rif dan pengertian yang tersendiri berkaitan dengan ilmu. Bahkan Islam amat memberi penekanan agar setiap penuntut ilmu itu mendapat hakikat ilmu yang dipelajari bukan sekadar pengetahuan atau maklumat semata-mata.

Oleh yang demikian walau apa pun ilmu yang kita pelajari, lebih-lebih lagi bilamana ilmu tersebut bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah ianya amat berbeza daripada apa yang kita faham kerana ilmu ini adalah terlalu bernilai, disebabkan mempunyai hubungan langsung dengan Allah Ta’ala dan RasulNya. Ia juga mepunyai kaitan yang amat rapat dengan ulama’ yang menjadi perantara kepada ilmu selaku pewaris kepada Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian jangan kita bersikap sebarangan bilamana kita ingin menuntut ilimu-ilmu yang sedemikian. Maka, marilah kita sama-sama memahami dan mendalami secara umum hakikat ilmu dan ulama’ untuk menjadi panduan kepada kita semua insya Allah.

Di antara pengertian ilmu sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud r.a:

لَيْـسَ الْـعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ إِنَّمَا الْـعِلْمُ نُوْرٌ يُقْذَفُ فِي الْـقَلْبِ

Maksudnya:

“Bukanlah dinamakan ilmu dengan banyaknya riwayat akan tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan/dikurniakan oleh Allah di dalam hati”.(1)

Begitu juga Al-Imam Asy-Syafie telah menceritakan ketika beliau mengadu kepada gurunya Al-Imam Waqi’ tentang buruknya hafalan beliau. Maka Al-Imam Asy-Syafie berkata:

فَـأَرْشَـدَنِي أَنْ تَرْكَ الْمَعَـاصِى لِأَنَّ الْـعِلْمَ نُـوْرٌ وَنُـوْرُ اللَّهِ لاَ يُهْدَى لِلْعَاصِى

Maksudnya:

“ Beliau menasihatiku supaya meninggalkan maksiat. Kerana ilmu itu adalah nur (cahaya). Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada ahli maksiat”.



Related Posts with Thumbnails

Dialog Imam Abu Hanifah Dengan Seorang Ateis

Oleh: Fateh al Qarni

Jumaat 23 may 2008


Dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.


Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat.
(Al-Mujadalah: 11)

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?”
Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk. Tidak boleh kita mengatakan Allah tempatnya di langit atau duduk di arasyh sebab Allah yang maha suci dari sesuatu tidak bertempat dan tidak mengambil tempat seperti makhluk, jika betul sebagaimana yang dikatakan oleh sesetengah puak yang melampau Allah duduk atas arasyh satu persoalan kita boleh bangkitkan, dimanakah Allah sebelum terciptanya Arasyh.?

Sebenarnya persoalan atau pertanyaan 'Di Mana.?' atau dalam bahasa arabnya ' Aina ?' tidak layak ditanya dan diguna pakai kepada Allah yang Maha suci, di mana berarti memerlukan jawapan tempat atau lokasi kepada kata tanya, Allah itu wujud sebelum terciptanya tempat dan sebelum adanya masa...sebagaimana mafhum dari kata ulama "Allah itu benar wujudNya, wujudnya Allah tidak berhajat kepada tempat sebagaimananya makhluk, wujudnya Allah meliputi ilmu yang layak bagiNya sahaja mengetahui, Allah wujud sejak azali sebelum terciptanya tempat dan masa....."wallhuaklam.



Related Posts with Thumbnails

Allah Maha Adil

Oleh: Fateh al Qarni

Rabu 21 may 08

Allah menjadikan manusia dan bumi, sebagai tempat kediamannya. Allah juga pencipta segala bahan-bahan alam yang mempunyai hubungan dengan manusia. Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja. Antara keadilan Allah yang maha tinggi pada manusia adalah memikul amanah di dunia. Mereka bertanggungjawab di atas apa yang dilakukan sebagaimana ajaran yang mengatur seluruh kejadian mereka yang meliputi rohani, jasmani, indvidu, masyarakat, moral dan material.

Perlu dijelaskan perbezaan antara kebenaran dan kesesatan, hak dan batil yang memberi manfaat dan memudaratkan. Seterusnya natijah daripada apa yang dilakukan oleh mereka sama ada ke syurga ataupun ke neraka. Agama Islam ialah penyuluh bagi manusia mengenail Tuhan pencipta alam. Manusia pula disuruh mengabdikan diri dan mengikut segala petunjuk Allah. Tujuannya supaya mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Allah melahirkan para nabi bagi mengajak manusia dan juga pemimpin mereka ke arah kebenaran, bermula daripada Nabi Adam dan keturunannya yang pertama. Seterusnya, diteruskan oleh nabi-nabi yang lain sehingga Nabi Muhammad, nabi akhir zaman.

Islam dibawa oleh rasul-rasul bagi menyelamatkan manusia supaya tidak terpesong daripada jalannya yang sebenar seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 213,

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Pada mulanya manusia itu ialah umat Yang satu (menurut ugama Allah Yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang Yang beriman Dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar Dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci Yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa Yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada Yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang Yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab suci itu, Iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang Yang beriman ke arah kebenaran Yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), Dengan izinNya. dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Ayat ini menyatakan manusia pada asalnya mengikut petunjuk agama sebenar. Mereka bertelingkah lalu melakukan kejahatan di bumi dengan menentang jalan yang sebenar. Ada di antara mereka mencipta jalan sendiri. Kekufuran dan tipu daya syaitan menyebabkan mereka lupa atau sengaja melupakan jalan Allah. Maka Allah melahirkan para nabi supaya mengembalikan mereka ke jalan yang benar di samping memberi khabar gembira dan peringatan.

Menurut laporan Ibnu Abbas jarak masa di antara Nabi Adam dan Nabi Nuh adalah 10 kurun. Dalam jangka masa itu manusia masih berada di jalan yang benar. Apabila berlaku penyelewengan, lalu Allah mengutuskan Nabi Nuh. Kemudian diikuti rasul-rasul yang silih berganti. Mereka membawa syariat Allah menurut keperluan umat dan masa. Akhirnya dibangkitkan nabi kita, Muhammad. Nabi Muhammad diutus bagi seluruh pelusuk dunia. Nabi Muhammad diutus semasa suasana benar-benar memerlukannya bagi menghadapi dunia akhir zaman. Beliau diutus menghadapi dunia dengan ciptaan baru yang mencabar seluruh kehidupan di bumi Allah ini.

Petikan dari kitab

Muqaddimah Aqidah Muslimin

Related Posts with Thumbnails

Islam Adalah Penyerahan Diri

Oleh: Fateh al Qarni

Isnin: 190508

Islam ialah agama rasul-rasul dan nabi-nabi sejak Nabi Adam sehingga nabi akhir zaman, Muhammad. Allah menjelaskan perkara ini dalam surah Ali Imran, ayat 19,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Allah menerangkan lagi dalam surah Ali Imran, ayat 67,

(مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٦٧

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang Yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”

Allah menjelaskan lagi dalam surah al-Maidah, ayat 44,

يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا

“Dengan kitab ini (Taurat) berhukum dengannya oleh para nabi yang menyerah diri kepada Allah (Islam).”

Islam bermakna menyerah diri kepada Allah. Taat pada perintah dan larangannya melalui wahyu. Para nabi dan rasul adalah orang yang pertama menyerah diri kepada Allah. Manusia diperintahkan mengikut nabi dan rasul supaya mereka sama-sama patuh dan menyerah diri kepada Allah. Tanpa penyerahan diri kepada Allah, mereka masih tidak dianggap Islam kerana Allah mengingatkan kita dalam surah an-Nisa’, ayat 65,

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya.”


Petikan dari kitab

Muqaddimah Aqidah Muslimin


Related Posts with Thumbnails

Didiklah Ahli Keluargamu Mengenal Allah

Oleh:Fateh al Qarni

isnin 190508.


Tarbiah di dalam sesebuah keluarga itu amat penting kerana ia akan mencorakkan peribadi seseorang anak itu. Coretan sejarah silam juga menunjukkan bahawa betapa pentingnya tarbiah seharian dalam mencorak peribadi seseorang muslim. Contoh terbesar ialah Saidina Ali KWJ yang ditarbiah secara langsung oleh baginda Nabi SAW semenjak umur yang masih kecil. Saidina Ali merupakan sepupu dan anak angkat Nabi SAW yang mana Baginda Nabi mengacuankan peribadi Saidina Ali dengan hebat.

Begitu juga Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar. Usamah merupakan anak kepada tokoh Islam iaitu Zaid bin Harithah(anak angkat Rasulullah SAW). Usamah dibesarkan dalam perhatian dan kasih sayang baginda Nabi SAW terutama selepas syahidnya ayah Usamah dalam perang Muktah. Rasulullah SAW sendiri yang mengasah potensi dan bakat yang ada pada Usamah bin Zaid. Bukti kehebatan Usamah dapat dilihat apabila beliau telah dilantik sebagai panglima perang dalam umur belasan tahun.

Selain itu, ada satu kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar menjadi khalifah yang menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana peribadi seorang anak adalah cermin kepada peribadi ibu dan bapanya. Pada suatu hari, Saidina Umar telah meronda Madinah untuk melihat kehidupan rakyatnya. Ketika melalui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di jalanan, semua kanak-kanak bertempiaran melarikan diri kerana aura tegas pada Amirul Mukminin melainkan seorang budak kecil.

Saidina Umar bertanya dalam keadaan berseloroh, ”Hai budak, mengapa kamu tidak lari sebagaimana kawan-kawan kamu yang lain?”. Maka budak itu menjawab, ”Mengapa aku nak lari, aku tidak berbuat apa-apa kesalahan.”. Tertarik dengan keberanian dan ketangkasan budak kecil itu, maka bertanya Saidina Umar dengan penuh teruja, ”Siapakah ibu dan bapa kamu?”. ”Ibuku Asma’ binti Abu Bakar dan bapaku Zuber Al Awwam” tukas budak kecil itu. “Patutlah kamu seorang yang hebat kerana kamu mempunyai ayah dan ibu yang hebat” ujar Saidina Umar. Anak kecil itu ialah Abdullah bin Zuber yang akhirnya membina nama besar dalam sejarah Islam.


Sebuah kisah di negeri berdarah, ungkapan kata seorang anak kepada
ibunya:

"Wahai ibu, jangan dinantikan kepulanganku, kerana pergiku dengan
satu matlamat ...supaya aku mati syahid..."

Sungguh gah hati seorang ibu, kerana melahirkan anak yang berjiwa pejuang.
Ibu adalah madrasah para syuhada'.

Berkata seorang penyair:

" Seorang ibu adalah madrasah. Apabila engkau mendidiknya, bererti engkau
sedang menyediakan satu generasi yang unggul.”

Satu generasi yang bakal dilahirkan oleh muslimah-muslimah yang sedang
mentarbiyyah dan ditarbiyyah...iaitu satu generasi Rabbani. Tangan yang
menghayun buaian, dapat menggegarkan dunia....

Allah berfirman:

"Wahai org-org yg beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yg bahan bakarannya adalah manusia dan batu;penjaganya malaikat-malaikat yg kasar, dan keras, yg tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (At-Tahrin:6)



Related Posts with Thumbnails

Anugerah Allah SWT

By: Fateh al-Qarni: 16.05.08

Pada tanggal 5.05.08 insan yang ku sayangi telah dikejarkan ke hospital, kerana didapati tekanan darahnya rendah akibat dari kandungan. Aku kesunyian bersama seorang putera dan dua orang puteriku omaraziz, afiqah da
n sumayyah. Kesunyian kami amat terasa, sehinggakan kami berempat tidur sekatil, bertapa sunyinya kami tanpa insan tersayang.

Puteriku sumayyah adalah anak bongsu dari tiga beradik, yang tidak henti-henti bertanyakan bila ummi nak balik, sayu hati memandang raut wajahnya. Kerana dialah antara yang paling manja dangan ku. Aku seperti biasa meneruskan tugas harianku, sebaik saja selesai tugas, kami berdua akan terus melawati insan yang kami sayangi ini. Terubatlah juga hati sumayyah buat seketika bila bersama umminya.

Pada tanggal 7.05.08 aku melihat raut wajah putera dan puteriku ini bertapa gembiranya mereka, bila ummi yang disayanggi kembali kepangkuan mereka. Disaat itu dapat dilihat bertapa kasih sayangnya antara kami sekeluarga. Seperti biasa rumah kami kembali dengan riuh rendah serta kenakalan puteriku sumayyah, yang seringkali bertanyakan bila ummi mahu bawa balik baby....sumayyah nak babylah ummi, sumayyah nak jadi kakak. Itulah pertanyaan yang seringkali keluar dari mulutnya. Dalam keriuhan kami, tiba-tiba insan yang kami sayanggi ini dikejarkan lagi kehospital pada 9.05.08. Sekali lagi kami dalam kesunyian. Penantiaan kami untuk melihat seorang baby masih belum kesampaian, bila insan yang kami sayangi kembali kepangkuan kami tanpa membawa pulang seorang baby. Raut wajah putera dan puteriku gembira bila melihat wajah ummi mereka. Disebalik kegembiraan tersimpan sebuah penantian dan kesediahan, bila melihat kesakitan yang sedang ummi pikul.

Namun ini semuanya adalah anugerah dari Allah SWT. Pada tanggal 15.05.08 jam 5.20pagi aku telah dikejutkan oleh isteriku dari tidur. Katanya kepada aku jom kita ke hospital ungkapan yang sungguh tenang dalam keadaan kesakitan. Hebatnya engkau seorang isteri. Aku mula berfikir sejenak....macam mana anak-anak, jam menunjukkan pukul 5.32 minit pagi sempat ke tak untuk menghantar anak-anak kesekolah dan adakah aku akan tinggalkan mereka bertiga dengan mengunci pintu rumah dalam keadaan mereka masih tidur. Lalu aku membuat keputusan dengan bertawakal kepada Allah untuk terus kehospital tanpa membawa ketiga-tiga anakku. Dalam perjalanan ke hospital seorang isteri kepada tiga orang anak, menasihati aku dengan katanya..............abang hantar rohaya ke hospital lepas tu abang balik uruskan anak-anak dan selesaikan kerja abang. Selesaikan kerja abang dulu nanti baru datang. Pasal rohaya abang jangan bimbang, Insyaallah semuanya selamat.

Sebaik saja sampai ke hospital, aku terus mendaftar masuk ke wad. Setelah selesai beberapa perkara di hospital aku pun balik tanpa melihat wajah isteriku yang telah dimasukkan ke wad kecemasan bagi menguruskan anak-anak. Sebaik sahaja sampai dirumah jam handpon menunjukkan pukul 6.20pagi. Aku pun tergesa-gesa kejutkan anak-anak kesekolah dan aku terus dengan tugas harianku menghantar budak-budak kesekolah. Dalam perjalanan dengan tugas ku, aku menerima panggilan dari isteri ku, yang menyatakan Alhamdulillah rohaya telah selamat melahirkan seorang baby lelaki pada jam 6.28pagi. Disaat itu hilang segala mengantuk dan letih.....Terima kasih Allah diatas kurniaan ini serta kesihatan yang Engkau berikan kepada ibu dan anakku ini. Semoga dengan kurniaan seorang lagi putera ini, dapat Engkau menambahkan lagi kasih sayang antara kami amin.

Inilah sebahagian gambar puteraku.








Tujuan saya tulikan coretan ini adalah untuk mengenang pengorbanan seorang ibu dalam mengharunggi detik kesakitan serta keperitan semasa kandungan sehingga menanti saat kelahiran. Bertapa susah payahnya mereka dalam mengharuggi semua ini. Untuk peringatan bagi diri saya dan juga sahabat sekalian, sama-samalah menghargai pengorbanan seorang isteri.


Sedar atau pun tidak, hakikatnya seorang ibu adalah madrasah.
Berjayanya ibu-ibu di Palestin melahirkan anak-anak
yang memerangi senjata Israel dengan hanya seketul batu
dan melahirkan anak-anak yang penuh dengan jiwa jihad.

Related Posts with Thumbnails

Banu Umayyah Di Celah-celah Pasang Surutnya....

Oleh: Ust.Sahrulazmi Sidek

130508:selasa

Tamadun datang silih-berganti. Sehingga hari ini telah bertukar ganti datang tamadun demi tamadun. Antara tamadun-tamadun yang awal ini adalah muncul di kawasan timur tengah seperti Mesir, Iraq dan Indus. Kebanyakan tamadun-tamadun yang muncul ini hanya menyumbangkan aspek material sahaja. Kajian-kajian sarjana mengenai tamadun-tamadun ini juga lebih menampakkan kesan peninggalan seperti monunem, mata wang dan penempatan berbanding aspek insaniahnya. Ini yang membezakan antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain yang telah menjadikan elemen agama dan insaniah sebagai asas kepada pembinaan tamadun mereka.

Terdapat beberapa ciri-ciri atau kritiria untuk menentukan sesuatu ketamadunan. Antaranya:

i. Petempatan kekal

ii. Kehidupan berorganisasi

iii. Sistem pemerintahan

iv. Pengkhususan pekerjaan

v. Bahasa dan sistem tulisan

vi. Agama dan kepercayaan.

Namun persoalannya adakah ciri-ciri ini disepakati untuk sebuah tamadun. Ciri-ciri yang manakah merupakan prioriti utama dan yang lebih dominant? Selain itu adakah dengan hanya memiliki kepercayaan dan agama dianggap bertamadun walaupun ia berunsul tahyul, khurafat dan falsafah yang membingungkan akal? Walauapa pun, Islam adalah satu-satunya tamadun yang amat menitikberatkan aspek agama dan insaniah dalam menilai dan membangunkan tamadunnya.
Maka dengan itu, pendapat yang menyebut bahawa kegemilangan Islam ialah pada kurun 4H iaitu pada zaman cAbbasih adalah pandangan barat dan golongan kebendaan yang melihat sudut material di mana wujudnya ketika itu nyanyian, muzik, syair-syair cinta di samping pembinaan bangunan-bangunan, istana-istana dan muncul pendidikan seperti ilmu hadis, fekah, geografi dan berlaku penterjemahan.

Jika dikira tamadun Islam ialah peningkatan dan kemajuan yang dicapai oleh umat Islam dalam semua aspek kerohanian dan kebendaan maka zaman Mekah, Rasul SAW telah membangunkan aspek kerohanian ini. Kegemilangan tamadun Islam bukan pada kebendaan tetapi kerohanian. Penekanan unsur kerohanian inilah yang membezakan dengan tamadun-tamadun lain. Bahkan ia menjadi paksi utama dan punca pasang surut atau turun naik sesuatu tamadun.

Barangkali jika kegemilangan kebendaan dan pembangunan material yang menjadi kayu ukur kegemilangan tamadun Islam maka zaman Rasulullah SAW khasnya zaman Mekah, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dan mungkin awal Banu Umayyah tidak dianggap zaman tamadun Islam kerana era ini belum memperlihatkan kecermerlangan kebendaan. Sebaliknya ia muncul pada era cAbbasiah khasnya pada zaman Harun al-Rasyid iaitu 170-193H iaitu lewat 150 tahun selepas kewafatan Nabi SAW sedangkan kurun pertama iaitu 100 tahun terawal diiktiraf sebagai sebaik-baik kurun.



Related Posts with Thumbnails

Luahan Seorang Ibu


Anakku,…
Bila ibu boleh memilih
Apakah ibu berbadan langsing atau berbadan besar kerana mengandungmu Maka ibu akan memilih mengandungmu…
Kerana dalam mengandungmu ibu merasakan keajaiban dan kebesaran Allah

Sembilan bulan nak,… engkau hidup di perut ibu Engkau ikut kemanapun ibu pergi Engkau ikut merasakan ketika jantung ibu berdetik kerana kebahagiaan Engkau menendang rahim ibu ketika engkau merasa tidak nyaman, kerana ibu kecewa dan berurai air mata…

Anakku,…
Bila ibu boleh memilih apakah ibu harus mambuat pilihan, atau ibu harus berjuang melahirkanmu, Maka ibu memilih berjuang melahirkanmu. Kerana menunggu dari jam ke jam, menit ke menit kelahiranmu. Adalah seperti menunggu saat memasuki salah satu pintu surga


Kerana kedahsyatan perjuanganmu untuk mencari jalan ke luar ke dunia sangat ibu rasakan
Dan saat itulah kebesaran Allah menyelimuti kita berdua. Malaikat tersenyum diantara peluh dan iringan rasa sakit, Yang tak dapat ibu ceritakan kepada siapapun

Dan ketika engkau hadir, tangismu memecah dunia
Saat itulah… saat paling membahagiakan. Segala sakit & derita sirna melihat dirimu yang merah,
Mendengarkan ayahmu mengumandangkan adzan, Kalimat syahadat kebesaran Allah dan penetapan hati tentang junjungan kita Rasulullah di telingamu

Anakku,…
Bila ibu boleh memilih apakah ibu berdada indah, atau harus bangun tengah malam untuk menyusuimu, Maka ibu memilih menyusuimu, Kerana dengan menyusuimu ibu telah membekali hidupmu dengan titisan-titisan dan tegukan tegukan yang sangat berharga Merasakan kehangatan bibir dan badanmu didada ibu dalam pelukan ibu, Adalah sebuah rasa luar biasa yang orang lain tidak dapat rasakan

Anakku,…
Bila ibu boleh memilih duduk bersama-samamu diruang yang kaya-raya, Atau duduk di lantai menemanimu kebahagiaan. Maka ibu memilih bermain kebahagiaan denganmu

Tetapi anakku…
Hidup memang pilihan…Jika dengan pilihan ibu, engkau merasa sepi dan merana Maka maafkanlah nak…
Maafkan ibu…
Maafkan ibu…

Percayalah nak, ibu sedang menyempurnakan jalan kehidupan kita, Agar tidak ada satu kepingan bahagianpun jalan kehidupan kita yang hilang
Percayalah nak…
Sepi dan ranamu adalah sebagian duka ibu
Percayalah nak…
Engkau adalah selalu menjadi belahan nyawa ibu…


Related Posts with Thumbnails

Sempena Hari Ibu

Madah Buat Mama…

Jeritan doamu mengumandangkan jalan bagiku
Derasnya air matamu menerjang kalbu yang menghampiriku
Canda tawamu melantunkan pujian kemenangan bagiku
Keringat penderitaanmu meminyaki kepalaku

Gemuruh takkan pernah menghentikan langkahmu
Badai takkan pernah menelan semangatmu
Membuat mataku terbuka melihat silaunya cahaya hidupmu
Dan jantungku berdetak dengan irama ketulusanmu

Aku menangis melihat betapa besarnya rasamu untukku
Yang selalu terbalas dengan setumpuk kepedihan
Membuatmu menangis dengan langkahku
Tapi tidak pernah menggenggamnya dalam anganmu

Malam menanti, siang menunggu
Namun engkau selalu menghampiri aku dalam doa
Menjemput aku dengan nyanyian yang di iringi harapan
Berharap dan terus berharap dalam doa yang beralaskan tangisan

Mama…
Dunia boleh menepismu…
Tetapi sesungguhnya syurga bakal menantimu
Menunggumu dengan segala kebenaran dan ketulusan yang
tercermin di hatimu

Mama…
Air matamu mengalirkan mata air bagiku
Tangisanmu menghapus kebebalan hatiku
Doa-doamu meluruskan langkahku



Related Posts with Thumbnails



Related Posts with Thumbnails

Keistimewaan Orang Yang Menuntut Ilmu

ByAdmin:100508:sabtu

Daripada Abu Darda' r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga."

"Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, karena ridha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu."

"Sesungguhnya orang berilmu dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampai ikan-ikan yu yang ada di dalam air."

"Keutamaan orang berilmu ke atas orang yang beribadat adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain."

"Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bagian yang banyak sekali."

(Riwayat Abu Dawud dan Termidzi)

Related Posts with Thumbnails



Related Posts with Thumbnails

Tafsir Al-Maidah ayat 82: Nabi anjur solat ghaib untuk Najasyi

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
050508:isnin

Mengikut satu riwayat datang serombongan dari Najran, iaitu satu kabilah kabilah Arab yang menganut Kristian.

Mengikut satu riwayat lain, mereka ini dari Najran datang mendengar Nabi s.a.w. membaca ayat al-Quran lalu mereka menangis dan kemudiannya memeluk Islam.

Mengikut satu riwayat yang lain, Ja'afar bin Ab Talib r.a. sendiri pulang ke Madinah bersama-sama dengan 70 orang. Di kalangan mereka disertai 62 orang dari Habasyah serta lapan orang Nasrani (Kristian) dari negeri Syam.

Antaranya Buhairo' Ar-Rohib, seorang Rohib yang beribadat, Idris, Asyraf, Abrahah, Sumamah, Fusam, Duraid dan Aiman. Riwayat ini menyebut nama mereka yang datang dari negeri Syam secara satu persatu.

Mereka mendengar Rasulullah s.a.w. membaca ayat daripada Surah Yasin daripada awal sehingga akhirnya.

Apabila mereka mendengar surah Yasin mereka menangis seraya �berkata, "alangkah serupanya ini (ayat-ayat yang dibaca itu)�dengan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Isa a.s." Lalu mereka memeluk Islam dan Allah menurunkan ayat ini.

Sementara itu diriwayatkan oleh as-Suddi, seorang ulama tafsir bahawa Raja Habasyah, Najasyi, menjawab surat Rasulullah s.a.w. dan dia hendak berhijrah ke Madinah. Mengikut riwayat As-Suddi, dia mahu berhijrah tetapi mati di tengah jalan.

Mengikut satu riwayat yang lain, Najasyi telah menjawab surat Rasululah s.a.w. dan mengatakan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia sendiri mahu berhijrah ke Madinah untuk menemui� Rasulullah s.a.w.

Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyuruhnya berjalan kaki nescaya dia akan berjalan kaki untuk menemui baginda s.a.w. walaupun dia seorang raja yang memerintah negeri Habasyah. Ini menunjukkan tawaduknya Najasyi terhadap baginda s.a.w.

Bagaimanapun Najasyi telah meninggal dunia di Habasyah belum sempat bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

Peristiwa kematiannya diberitahu oleh Malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. lalu Nabi s.a.w. memberitahu kepada para sahabatnya bahawa pada hari Najasyi telah meninggal dunia dan dia adalah seorang yang beriman.

Al-Quran diturunkan untuk menceritakan bagaimana kemuliaan hatinya. Nabi s.a.w. bangun seraya mengajak para sahabatnya bersembahyang ghaib untuk Najasyi.

Ini adalah sunnah ataupun ajaran Nabi s.a.w.yang berkait dengan sembahyang ghaib (sembahyang kepada jenazah yang jauh).

Diberitakan terdapat di kalangan rakyatnya yang memberontak tetapi Najasyi berjaya menentang pemberontakan itu serta �mengalahkan mereka. Najasyi meninggal dunia sebagai seorang yang beriman.

Allah Ta'ala menurunkan ayat ini bersebab daripada peristiwa-peristiwa tersebut. Allah berfirman yang bermaksud, "engkau akan dapati (wahai Muhammad s.a.w.) manusia yang paling bermusuh dengan orang yang beriman itu adalah orang-orang Yahudi dan Musyrikin." (Surah al-Maidah: 82)

Dua golongan ini paling jahat dan paling bermusuh dengan orang Islam serta orang beriman. Mereka ini termasuk orang Yahudi yang terkenal dengan sifat jahat dan dengki mereka terhadap orang beriman. Mereka juga terkenal dengan sejarah, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul a.s. di samping membunuh para ulama serta menghina mereka.

Ini adalah kerja orang-orang Yahudi termasuk menghina Nabi Muhammad s.a.w. Merekalah yang menasihatkan orang-orang Quraisy supaya membentuk tentera Ahzab bagi memerangi Rasulullah s.a.w.

Apabila mereka ditanya oleh orang-orang musyrikin kerana mereka (orang-orang Yahudi) terdiri daripada kalangan ahlil kitab, "manakah yang benar sama ada ajaran kami atau ajaran Muhammad?"

Lalu orang Yahudi menyembunyikan kitab. Mereka memberitahu kepada orang musyrikin, "kamulah yang betul manakala Muhammad adalah sesat."

Mereka mendorong orang-orang musyrikin memusuhi orang Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w.

Sifat orang-orang Yahudi ini berpanjangan sehingga hari ini. Mereka paling bermusuh dengan orang Islam sampai sekarang sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dan sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.

Di kalangan merekalah yang merancang untuk meletakkan racun ke dalam makanan Rasulullah s.a.w. sehingga membawa kepada sakit dan wafatnya baginda s.a.w.



Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: Mei 2008 | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top