Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Mencari Kesegaran Hati

pena

“Agama ini kukuh dan kuat. Masukilah dengan lunak, dan jangan sampai timbul kejenuhan dalam beribadah kepada Rabbmu.” (Al-Baihaqi)

Maha Suci Allah yang menggilirkan siang dan malam. Kehidupan pun menjadi dinamik, seimbang, dan berkesinambungan. Ada hamba-hamba Allah yang menghidupkan siang dan malamnya untuk sentiasa dekat dengan Yang Maha Rahman dan Rahim. Tapi, tidak sedikit yang akhirnya menjauh, dan terus menjauh.

Seperti tanaman, rohani perlu siraman

Sekuat apa pun sebatang pohon, tidak akan pernah terlepas dari kebergantungan kepada air. Siraman air menjadi tenaga baru buat pohon. Dari tenaga itulah pohon mengukuhkan tajakan akar, meninggikan batang, mencambahkan cabang, menumbuhkan daun baru dan menghasilkan buah.

Seperti itu pula siraman rohani buat hati manusia. Tanpa kesegaran rohani, manusia cuma sebatang pohon kering yang berjalan. Tak ada keteduhan, apalagi buah yang boleh dimanfaatkan. Hati menjadi begitu kering. Persis seperti ranting-ranting kering yang mudah terbakar.

Allah swt. memberikan teguran khusus buat mereka yang beriman. Dalam surah Al-Hadid ayat 16, Yang Maha Rahman dan Rahim berfirman, “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka). Janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka. Lalu, hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Hati buat orang-orang yang beriman adalah ladang yang harus dirawat dan disiram dengan zikir. Dari zikirlah, ladang hati menjadi hijau segar dan tumbuh subur. Akan banyak buah yang boleh dihasilkan. Sebaliknya, jika hati jauh dari zikir; ia akan tumbuh liar. Jangankan buah, ladang hati seperti itu akan menjadi sarang ular, kelabang dan sebagainya.

Hamba-hamba Allah yang beriman akan sentiasa menjaga kesegaran hatinya dengan lantunan zikrullah. Seperti itulah firman Allah swt. dalam surah Ar-Ra’d ayat 28. “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.

Rasulullah saw. pernah memberi nasihat, “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Rabbnya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati.” (Bukhari dan Muslim)

Siapapun kita, ada masa lengahnya

Manusia bukan makhluk tanpa khilaf dan dosa. Selalu sahaja ada lupa. Ketika rohani dan jasad berjalan tidak seimbang, di situlah berbagai kealpaan terjadi. Saat itulah, pengawasan terhadap nafsu menjadi lemah.

Imam Al-Ghazali mengumpamakan nafsu seperti anak kecil. Apa saja ingin diraih dan dikuasai. Ia akan terus menuntut. Jika dituruti, nafsu tidak akan pernah berhenti.

Pada titik tertentu, nafsu boleh menjadi dominan. Bahkan sangat dominan. Nafsu pun akhirnya memegang nakhoda hidup seseorang. Nalar dan hatinya menjadi lumpuh. Saat itu, seorang manusia sedang bertuhankan nafsunya.

Allah swt. berfirman, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.” (Al-Jatsiyah: 23)

Seburuk apapun seorang muslim, ada pintu kebaikannya

Seperti halnya manusia lain, seorang muslim pun punya nafsu. Bezanya, nafsu orang yang beriman lebih terkawal. Namun, kelengahan dapat memberi peluang buat nafsu untuk tampil dominan. Dan seorang hamba Allah pun melakukan dosa.

Dosa buat seorang mukmin seperti kotoran busuk. Dan solat serta istighfar adalah di antara pencuci. Kian banyak usaha penyucian, kotoran pun lenyap: warna dan baunya.

Allah swt. berfirman dalam surah Ali Imran ayat 133 hingga135. “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa….Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah. Lalu, memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.

Khilaf buat hamba Allah seperti mata air yang tersumbat. Dan zikrullah adalah penghilang sumbat. Ketika zikrullah terlantun dan tersiram dalam hati, air jernih pun mengalir, menyegarkan wadah hati yang pernah kering.

Sekecil Apapun kebaikan dan keburukan, ada ganjarannya

Satu perkara yang dapat menyegarkan kesedaran rohani adalah pemahaman bahawa apa pun yang dilakukan manusia akan dibalasan. Di dunia dan akhirat. Dan di akhirat ada balasan yang jauh lebih dahsyat.

Firman Allah swt., “Siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (Al-Zilzaal: 7-8)

Pemahaman inilah yang sentiasa membimbing hamba Allah untuk sentiasa beramal. Keimanannya terpancar melalui perbuatan nyata. Lantunan zikirnya hidup dalam segala keadaan.

(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran: 191)

Related Posts with Thumbnails

Takziah

Takziah kepada keluarga saudara Omar Ramli, diatas permergian kerahmatullah isterinya yang tersayang Puan Sabaniah khatan pada 19 april 2010. Semoga ronhya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan solehah. Al Fatihah


Related Posts with Thumbnails

Allah menguji tentera Thalut

SETELAH Thalut dilantik menjadi raja bagi Bani Israel, beliau telah membina sebuah angkatan perang. Semua pemuda dan orang-orang tua yang masih sihat dan kuat dikumpulkan untuk membentuk satu pasukan.

Matlamat mereka adalah untuk menentang tentera Palestin yang diketuai oleh Jalut. Mereka sangat terkenal dengan kekuatannya. Oleh itu, tentera Israel berjanji untuk menebus kembali wilayah mereka yang telah ditakluk oleh Palestin.

Thalut yang mengetuai pasukan tentera tersebut telah merancang berbagai-bagi strategi. Beliau banyak memberi nasihat penting kepada para tenteranya tentang taktik-taktik untuk melawan musuh.

Thalut juga mengajar tenteranya erti kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi peperangan.

Apabila sampai waktunya untuk berperang, Thalut dan tenteranya telah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Dalam perjalanan ke medan perang itu, Thalut berkata: “Wahai tenteraku sekelian! Sebentar lagi kita akan melalui sebuah anak sungai. Sekiranya ada di antara kamu yang minum airnya, kamu bukan lagi pengikutku. Tetapi sekiranya kamu hanya mengambilnya secedok sekadar untuk menghilangkan dahaga, kamu adalah pengikutku”.

Mereka kembali meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, mereka menemui sebuah anak sungai seperti yang diberitahu oleh Thalut. Kebetulan pula ketika itu mereka sangat dahaga.

Tanpa berlengah lagi, sebahagian besar tentera Thalut turun ke sungai tersebut lalu minum sepuas-puasnya. Mereka tidak mengendahkan segala pesanan Thalut. Hanya beberapa orang yang mengikut nasihat Thalut itu. Mereka hanya mengambil secedok air untuk membasahkan tekak.

Selepas itu Thalut mengarahkan semua bala tenteranya meneruskan perjalanan semula. Akan tetapi orang-orang yang telah minum dengan banyak air sungai itu berkata: “Wahai Thalut! Hari ini kami tidak sanggup untuk menentang Jalut dan tenteranya.”

Mereka ingin mengundurkan diri daripada peperangan, lalu berpatah balik. Tinggallah sebahagian kecil tentera Thalut yang masih teguh pendiriannya.

“Kami tidak gentar walaupun jumlah kita hanya sedikit kerana Allah pasti akan menolong kita. Berapa ramai tentera yang sedikit jumlahnya telah menang dalam peperangan melawan tentera yang lebih besar jumlahnya? Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang sabar.”

Akhirnya mereka meneruskan perjalanan untuk berjuang sambil berdoa kepada Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kesabaran dan tetapkanlah pendirian kami untuk menentang orang-orang kafir”.

Related Posts with Thumbnails

Perintah jangan berpecah belah


SOlat berjemaah boleh memupuk rasa persaudaraan sesama muslim sekaligus dapat mengelakkan perpecahan dalam masyarakat. - Gambar hiasan


Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah telah menerangkan pada ayat terdahulu keengganan sebahagian ahli Kitab dan berterusan mereka dalam kejahatan dan menyekat mereka jalan hidayat untuk sampai ke dalam hati mereka.

"Di samping itu, cabaran mereka terhadap kebenaran dan pengikutnya. Dan keengganan mereka untuk bukti yang sabit yang tidak boleh dinafikan kemudian mereka melampaui batas tersebut dan menentang orang yang beriman. Lantas ia meniupkan roh perpecahan dan kembali kepada zaman jahiliah.

"Pada ayat ini Allah menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah SWT".

Ayat ke-102:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Sebab Nuzul.

Ikrimah berkata, ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi SAW mendamaikan mereka.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir meriwayatkan daripada Anas r.a katanya: "Seorang hamba tidak bertaqwa kepada Allah dengan sebenarnya sehingga lidahnya dipelihara daripada maksiat".

ii. Ibn Jauzi berkata: "Perkataan takwa yang sebenarnya mempunyai tiga pendapat:

lDitaati tanpa diderhaka, diingati tanpa dilupa dan disyukuri tanpa dikufuri. Inilah pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan, Ikrimah, Qatadah dan Muqatil.

Berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya tanpa merasa takut kepada celaan dan berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri, ibubapa dan anak-anak mereka. Inilah pendapat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas RA.

Ia bertakwa apa yang menjadi hak ke atas kamu. Inilah pendapat al-Zajjaj.

iii. Ibn Mas'ud berkata, pengertian takwa kepada Allah SWT ialah taat kepada-Nya, tidak menderhakai-Nya, mensyukuri-Nya, tidak mengingkari-Nya, mengingat-Nya serta tidak melupakan-Nya.

iv. Ibn Abbas r.a berkata, pengertian takwa adalah berjihad pada jalan Allah SWT dengan jihad yang sungguh-sungguh dan tidak mudah terpengaruh apabila dicela oleh seseorang ketika melaksanakan agama Allah.

Menegakkan keadilan semata-mata kerana Allah SWT termasuk terhadap diri sendiri, bapa dan ibunya.

v. Ibn Abbas r.a pula menafsirkannya begini: "Hendaklah Tuhan itu ditaati, jangan diderhakai, disyukuri jangan dikufuri dan diingati jangan dilupai".

vi. Mujahid menafsirkannya: "Hendaklah kamu berjuang pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya, jangan melakukan sesuatu pada jalan Allah yang menjadi celaan orang, dan berlakulah adil pada jalan Allah walaupun terhadap diri sendiri, terhadap ibubapa dan anak-anak kamu".

Ayat ke-103

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, tali Allah mempunyai enam pendapat:

Kitab Allah iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas'ud, Qatadah, al-Dhahaq

Jemaah. Inilah pendapat al-Sya'bi daripada Ibn Mas'ud.

Agama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.

Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, 'Ata', Qatadah dan Abu 'Abid.

Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-'Aliah.

Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.

Berkenaan dengan jangan kamu berpecah belah ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:

Daripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan Qatadah.

lDaripada Rasulullah SAW.

ii. Al-Syauqani berkata, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.

iii. Al-Maraghi berkata, perselisihan yang terjadi antara manusia ada dua jenis:

Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia.

Hawa nafsu

Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad SAW) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu…(Hud: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama.

Contohnya dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap merbahaya.

Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.

iv. Al-Sonhadji berkata: "Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, yakni jangan berselisih di antara kamu sesama Islam kelak membawa ke jalan yang sebaliknya iaitu jalan yang ditegah oleh Allah".

Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing memandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini.

Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata, perintah mengingat nikmat-Nya merupakan alasan atau dalil yang mengharuskan mereka bersatu padu, berpegang teguh dengan tuntutan Ilahi.

Ini bertepatan dengan al-Quran yang kebiasaannya apabila memerintahkan sesuatu atau melarangnya akan disertakan dalil dan alasan atau sekurang-kurangnya menyuruh manusia berfikir. Ini bersangkutan dengan bab akidah, fikah dan lain-lain.

Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah Allah. Amin.

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: April 2010 | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top