Aktiviti



Kuliah Bulan April 2010



19-04-2010 -Fiq Daulah
Ust. Zamri Syafik


21-04-2010 -Sifat 20
Ust. Dr.Zulkifli Mohammad Al Bakri



Muslimin Muslimat Dijemput Hadir


Hadis Pilihan



Rasulullah bersabda "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yg dirosakkan oleh air." Seorang sahabat telah bertanya "Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?" Jawab Rasulullah "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."
(riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan **** (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayatThabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad



Tafsir al-Maidah ayat 82: Ada paderi peluk Islam

Oleh: Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang

25 Jun 2008 Rabu


Dan di kalangan orang Yahudi juga, yang menyihirkan Nabi s.a.w. Ertinya, mereka menggunakan pelbagai cara untuk membunuh Nabi s.a.w. termasuk melalui peperangan dan perancangan jahat yang lain termasuk sihir dan meracun Nabi s.a.w.

Golongan yang kedua adalah musyrikin termasuk penyembah berhala, penyembah api, penyembah bintang dan seumpamanya, merupakan golongan yang paling bermusuh dengan orang Islam.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan demi sesungguhnya engkau dapati juga (wahai Muhammad s.a.w.) mereka yang paling hampir kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, "Kami adalah orang-orang Nasara (Kristian), sebabnya mereka itu terdiri daripada kalangan orang alim dan ahli ibadat dan mereka itu tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82)

Di kalangan mereka terdiri daripada orang alim yang benar, bukan orang alim yang menyeleweng.

Diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya dari Urwah bin Az-Zubair bahawa orang-orang alim Kristian telah meminda Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.

Yang bertanggungjawab meminda Injil ini terdiri daripada empat orang termasuk Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Bahkan Injil dipinda sehingga menjadi beratus-ratus kitab. Ini menandakan bahawa kitab Allah itu telah diubah. Yang pertama menyeleweng isi kandungan Injil adalah seorang yang bernama Shaul yang mendakwa mendapat ilham daripada Allah dan Nabi Isa a.s.

Kemudian mereka yang menyeleweng ini berhijrah ke Eropah. Ketika itu benua Eropah dikuasai oleh Rom (Kerajaan Romawi).

Mereka berjaya mengkristiankan Raja Rom yang ketika itu menganut agama keberhalaan sesuai dengan Kristian yang menyembah Solib yang telah dipinda dan diubah itu.

Dengan perintah Raja Rom, dianjurkan satu persidangan Kristian antarabangsa, yang diadakan di sebuah pulau di Laut Mediterranean.

Dalam persidangan itu mereka mengambil keputusan mengiktiraf empat Injil sahaja iaitu Injil yang dikarang oleh Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Manakala yang lain diharamkan. Antara yang diharamkan adalah Injil Barnaba di mana Injil ini lebih hampir dengan Injil yang sebenar yang menyatakan Nabi Isa itu adalah Rasulullah dan hamba-Nya.

Injil ini telah dicuri dari perpustakaan Gereja Vatican, Pusat Kristian Roman Katolik terbesar di dunia yang terletak di Itali.

Seorang pekerja di gereja besar ini telah melihat di kalangan buku-buku lama yang disimpan itu, sebuah Injil bernama Barnaba lalu membacanya dan kemudian melarikan diri dari Vatican bersama Injil berkenaan.

Injil ini kemudian dibeli salah seorang Putera Mahkota Austria dan disimpan dalam Muzium Vienna sehingga sekarang dan ia juga telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan orang Kristian menganggap Injil itu sebagai kitab lama bukan mengambil pengajaran daripada apa yang terkandung di dalamnya.

Injil ini menyatakan bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah, nabi akhir zaman yang akan zahir dan inilah yang diberitahu oleh Nabi Isa a.s.

Paderi-paderi Kristian mengetahui hakikat ini. Justeru ada di antara mereka, apabila dibaca al-Quran mereka masuk Islam.

Kerana mereka mengetahui benarnya apa yang ada di dalam al-Quran. Salah seorang daripadanya adalah paderi di Mesir, apabila mendengar Surah at-Tin, dia memeluk Islam.

Surah itu bermula dengan firman Allah yang bermaksud, "Demi buah Tin dan Zaitun, Demi gunung Turi Saina' dan negeri yang Aman ini (Makkah)." (Surah at-Tin: 1-3)

Buah Tin dan Zaitun digambar sebagai negeri Palestin sebagai tempat tumbuhnya pokok-pokok tersebut, sekali gus sebagai tempat lahirnya Nabi Isa a.s.

Sementara Gunung Saina'yang terletak di Semenanjung Sinai, merupakan tempat bermunajat Nabi Musa a.s. manakala Makkah adalah negeri tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w., menujukkan hubungan ketiga-tiga orang rasul ini.

Maka paderi yang mendengar ayat ini memeluk Islam kerana mengetahui benarnya Islam.

Bahkan ada di kalanagn paderi di Amerika Syarikat dan Eropah yang menasihatkan penganut mereka supaya jangan bermusuh dengan orang Islam kerana pengikut Nabi Muhammad s.a.w. juga adalah penganut agama Samawi.

Tidak dinafikan ada di kalangan mereka yang bersikap sebaliknya. Sebenarnya orang Kristian sudah menyeleweng daripada Kristian. Dalam ajaran Kristian diharamkan berperang kerana di dalam kitab Injil (Bible), ada satu ayat yang bermaksud, "Barangsiapa menampar pipi kananmu, kamu surunglah mereka menampar pipi kirimu pula.



Related Posts with Thumbnails



Related Posts with Thumbnails



Related Posts with Thumbnails

Syahidnya Ibnu Taimiyyah

Oleh: Fatehal Qarni

22 Jun 2008: Ahad


Nama lengkap beliau adalah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali, yang lahir pada hari Senin, 10 Rabiul Awwal 66l H. (22 Januari 1263 M) di Harran. Ayah beliau adalah seorang alim ahli agama, seorang besar dalam bidang agama Islam, iaitu Syihabuddin Abu Ahmad Halim Ibnu Taimiyah. Ayah beliau ini adalah seorang Imam Muhaqqiq yang banyak ilmunya, meninggal tahun 681H Neneknya adalah Syeikhul Islam, Majduddin Abul Barakat Abbas Salam Ibnu Taimiyah, seorang Hafiz Hadith yang ternama.

Kerana diburu oleh bangsa Monggol, maka ayah beliau pindah ke Damaskus dengan seluruh keluarganya. Di Damaskus itulah beliau mempelajari agama Islam, yang ternyata sebagai anak yang cerdas. Guru beliau antara lain adalah ulama besar yang bernama Zainuddin Abdul Daim Al-Mukaddasi, Najmuddin Ibnu Asakir, dan seorang ulama perempuan terkenal, Zainab binti Makki, dan sebagainya yang lebih dari seratus guru lagi banyaknya.

Beliau kuat ingatan, cepat hafal, lekas faham, dan tidak bosan membaca serta tidak pernah beristirehat di dalam menambah ilmu, juga dalam perjuangannya.

Setelah ayah beliau meninggal dunia, beliau menggantikan ayah beliau mengajarkan ilmu fiqh dalam mazhab Hambali dan dalam ilmu tafsir. Pada tahun 691H. (1292 M) beliau pergi haji, dan di Kota Makkah beliau bertemu dengan ramai ulama besar. Ramai ulama yang beliau tinggalkan namanya kerana salah dalam sesuatu debat dan pendapat di dalam masalah hukum.

Itulah Ibnu Taimiyah, ulama besar yang merengkuk dalam penjara Mesir. Baru saja beliau bebas dari penjara, kemudian ditangkap lagi dan dipenjarakan yang kedua kalinya selama setengah tahun lagi. Sebabnya kerana beliau menulis sebuah kitab yang isinya tentang masalah ketuhanan yang tidak disetujui oleh para ulama. Di dalam, penjara yang hanya setengah tahun itu beliau berhasil menginsafkan banduan yang merengkok bersama beliau sehingga semua yang insaf itu menjadi pendukung beliau dan menjadi pengikut yang setia. (Ada sumber yang mengatakan bahawa di penjara yang kedua ini selama satu setengah tahun lagi lamanya).

Adapun isi kitab yang menyebabkan beliau di penjara yang kedua itu adalah beliau menentang ajaran Tasawwuf Ittihadiyah yang menyatakan bahawa Allah boleh hulul (bertempat) dalam tubuh makhluk. Jelasnya kepercayaan hulul ialah kepercayaan bahawa Allah bersemayam dalam tubuh salah seorang yang memungkinkan untuk itu kerana kemurnian jiwanya atau kesucian rohnya. Adapun kepercayaan ittihad (Al-lttihad) ialah kepercayaan tentang Allah yang dapat bersatu dengan manusia. Apabila telah terjadi ittihad, maka orang yang bersangkutan tak sedar diri.

Hal ini mereka namakan makwu, atau sampai kepada tingkat lenyapnya zat yang fana dengan Zat Allah yang baqa. Kalau sudah sampai tingkat yang begini, maka segala yang diucapkan tidak terkena hukum syirik walaupun pada zahirnya syirik, kerana orang yang mengucapkan itu sedang dalam keadaan sukar atau mabuk kepayang. Di antara kaum sufi dan Guru Thariqat mempercayai melancarkan faham ini adalah Umar Ibnul Faridh dan Ibnu ‘Ath’allal.

Itulah faham sesat yang beliau tentang, tetapi beliau bahkan di penjara selama satu setengah tahun di Syam.
Baru beberapa hari keluar dari penjara yang kedua, ia ditangkap lagi dan dipenjarakan selama lapan bulan lamanya di Aleksandria, kerana fatwa beliau pula yang tidak sesuai dengan faham para ulama.

Keluar dari penjara Aleksandria, beliau dipanggil oleh Sultan Nashir Qalaun untuk memberikan fatwa di muka umum. Sebabnya sampai sikap sultan demikian ialah kerana sultan senang terhadap sifat terus-terang beliau. Beliau bersedia memberikan fatwa atau ceramah di muka umum, dan ternyata fatwa beliau itu menggemparkan para ulama yang bermazhab Syafi’e, namun beliau tetap dikasihi oleh Sultan. Bahkan beliau mendapat tawaran menjadi professor pada sebuah Sekolah Tinggi yang didirikan oleh Putera Mahkota.

Dalam tahun 1313 beliau diminta untuk memimpin peperangan lagi ke Syiria. Beliau diangkat menjadi professor lagi dalam sebuah Sekolah Tinggi, tetapi pada bulan Ogos 1318 beliau dilarang mengeluarkan fatwa oleh Penguasa, padahal fatwa-fatwa beliau itu diperlukan umat saat itu. Dengan diam-diam para murid beliau mengumpulkan fatwa-fatwa beliau yang cemerlang itu dan berhasil dibukukan, kemudian dicetak, yang bernama “Fatwa Ibnu Taimiyah” Alangkah sedih hati rakyat yang ternyata masih ramai yang mencintai beliau.

Mereka tetap mendatangi beliau minta fatwa-fatwa, terlebih lagi rakyat baru lepas rindunya terhadap beliau yang baru pulang ke Kota Damsyik yang beliau tinggalkan selama lebih dari tujuh tahun, dalam waktu itu beliau hidup dari penjara ke penjara.

Beberapa waktu kemudian beliau ditangkap lagi dan dipenjarakan yang keempat kalinya selama lima bulan lapan hari.

Demikianlah hidup beliau, dari penjara ke penjara. Semua perkara yang dijadikan masalah telah beliau keluarkan fatwanya. Soal talak tiga di dalam satu majlis hanya satu yang jatuh, tentang beliau melarang berziarah ke Masjid atas kubur keramat kecuali Masjid Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dan Baitul Muqaddis di Jerusalem. Juga sekitar masalah keTuhanan dan memurnikan ajaran Islam, mengamalkan ibadah yang murni menurut faham yang terdahulu, iaitu faham salaf. Juga masalah syirik dan bid’ah yang membahayakan akidah Islam beliau tentang, agar Islam kembali kepada kemurniannya seperti zaman salaf.

Yang terakhir beliau ditangkap lagi atas perintah Sultan dalam bulan Sya’ban 726 H. (Julai 1326 M) dan kemudian dipenjarakan yang kelima kalinya selama 20 bulan. Kali ini kamar tahanannya amat sempit dan bertembok tebal. Dalam kamar tahanannya itu beliau tetap menulis, kerana menulis itu yang membawa kebahagiaan bagi beliau. Beliau dilarang berfatwa kemudian menulis, bahkan isi tulisannya sangat bagus.

Maka walaupun beliau hidup dalam lingkungan tembok penjara yang tebal, tetapi hati beliau tidak sedih dan tidak pula gundah. Dalam penjara inilah beliau berkata yang kemudian terkenal sampai sekarang, iaitu: “Orang yang terpenjara ialah yang dipenjara syaitan, orang yang terkurung ialah orang yang dikurung syaitan. Dan dipenjara yang sebenarnya ialah yang dipenjarakan hawa nafsunya. Bila orang-orang yang memenjarakan saya ini tahu bahawa saya dalam penjara ini merasa bahagia dan merasa merdeka, maka merekapun akan dengki atas kemerdekaan saya ini, dan akhirnya mereka tentulah mengeluarkan saya dari penjara ini.”

Setelah petugas tahu bahawa beliau dalam penjara terus menulis, maka semua kitab dan alat-alat tulis beliau dirampas dan dikeluarkan dari kamar penjara. Itulah hukuman yang paling kejam bagi beliau. Keadaan ini beliau terima dengan hati sedih dan bercucuran air mata.

Dalam penjara terakhir ini beliau bersama dengan para murid beliau yang juga dimasukkan dalam tahanan. Namun semua pengikut beliau yang ditahan itu telah dibebaskan, kecuali seorang murid beliau yang paling setia yang masih menyertai beliau dalam penjara, iaitu Ibnul Qayyim Al-Jauziyah (691-751H).

Setelah tidak boleh menulis lagi, beliau pun mengambil kitab suci Al-Quran yang tidak ikut dirampas. Beliau baca Al-Quran itu sampai penat, kemudian berzikir dan solat, membaca Al-Quran lagi bertilawat, kemudian solat dan berzikir. Demikianlah yang beliau kerjakan, sehingga sejak beliau tidak boleh menulis telah menamatkan (mengkhatamkan) membaca Al-Quran 80 (lapan puluh kali).

Dan ketika beliau membaca akan masuk ke 81 kalinya, tetapi ketika sampai kepada ayat yang ertinya,” … Sesungguhnya orang yang muttaqin itu akan duduk di dalam syurga dan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, di dalam kedudukan yang benar, pada sisi Tuhan Allah Yang Maha Kuasa.” Beliau pun tidak dapat meneruskan bacaannya lagi, kerana jatuh sakit selama 20 hari.

Saat itu beliau telah berusia 67 tahun, dan telah merengkuk dalam penjara yang terakhir itu selama lebih dari 20 bulan lamanya, dan ketika itu sakit beliau semakin bertambah. Orang ramai tidak mengetahui bahawa beliau dalam keadaan sakit, kerana yang mengurus diri beliau hanyalah Ibnul Qayyim Al-Jauziyah muridnya yang setia. Baru setelah muadzin berseru dari atas menara bahawa beliau telah pulang ke rahmatullah, berduyun-duyun orang mengerumuni gerbang penjara.

Ramai orang yang terisak menangis dan meratapi kematian beliau. Juga ramai orang yang ingin mengambil berkah dari hanya melihat wajah beliau, memegang jenazah beliau dan bahkan ada yang mencium beliau.

Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zul Kaedah 728 H. (26-28 September 1328 M), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran.

Walaupun begitu beliau seorang yang banyak dibenci terutama oleh mereka yang bermazhab Syafi’e, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Demikianlah akibat yang dialami oleh beliau dalam memperjuangkan kebenaran, demi tegaknya agama Islam di atas dunia



Related Posts with Thumbnails

Sabar

Oleh: Fateh al Qarni

Isnin 16 Jun 2008


قال الله تعالى ‏:‏ ‏}‏ ‏(‏‏(‏آل عمران ‏:‏ 200‏)‏ وقال تعالى ‏{‏ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين‏}‏ ‏(‏‏(‏ البقرة ‏:‏ 155‏)‏‏)‏ وقال تعالى ‏:‏ ‏{‏إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب‏}‏ ‏(‏‏(‏الزمر‏: ‏10‏)‏‏)‏ وقال تعالى‏:‏ ‏{‏ولمن صبر وغفر إن ذلك لمن عزم الأمور‏}‏ ‏(‏‏(‏الشورى ‏:‏ 43‏)‏‏)‏ وقال تعالى‏:‏ ‏{‏استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين‏}‏ ‏(‏‏(‏محمد ‏:‏ 31‏)‏‏)‏ والآيات في الأمر بالصبر وبيان فضله كثيرة معروفة‏.‏


Allah Ta'ala berfirman:

"Hai sekalian orang yang beriman, bersabarlah dan cukupkanlah kesabaran itu." (ali-lmran: 200)


Allah Ta'ala berfirman pula:


"Nescayalah Kami akan memberikan cubaan sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, ketaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikaniah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."

(al-Baqarah: 155)


Lagi Allah Ta'ala berfirman:


"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya." (az-Zumar: 10)


Juga Allah Ta'ala berfirman:


"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu nescayalah termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh." (as-Syura: 43)


Allah Ta'ala berfirman pula:


"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan shalat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)


Lagi Allah Ta'ala berfirman:


"Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kepadamu semua, sehingga Kami dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar." (Muhammad: 31)


Ayat-ayat yang mengandungi perintah untuk bersabar dan yang menerangkan keutamaan sabar itu amat banyak sekali dan dapat dimaklumi.


25- وعن أبي مالك الحارث بن عاصم الأشعري رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏:‏ ‏"‏الطهور شطر الإيمان، والحمد لله تملأ الميزان، وسبحان الله والحمد لله تملآن -أو تملأ- ما بين السماوات والأرض، والصلاة نور، والصدقة برهان، والصبر ضياء، والقرآن حجة لك أو عليك‏.‏ كل الناس يغدو، فبائع نفسه فمعتقها، أو موبقها‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه مسلم‏)‏‏)‏‏.‏


Dari Abu Malik al-Harits bin Ashim al-Asy'ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Bersuci adalah separuh keimanan dan Alhamdulillah itu memenuhi imbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah itu dapat memenuhi atau mengisi penuh apa-apa yang ada di antara langit-langit dan bumi. Shalat adalah pahala, sedekah adalah sebagai tanda - keimanan bagi yang memberikannya - sabar adalah merupakan cahaya pula, al-Quran adalah merupakan hujjah untuk kebahagiaanmu - jikalau mengikuti perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya - dan dapat pula sebagai hujjah atas kemalanganmu - jikalau tidak mengikuti perintah-perintahnya dan suka melanggar larangan-larangannya. Setiap orang itu berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya - kepada Allah - bererti ia memerdekakan dirinya sendiri - dari siksa Allah Ta'ala itu - dan ada yang merosakkan dirinya sendiri pula - kerana tidak menginginkan keredhaan Allah Ta'ala." (Riwayat Muslim)


Petikan dari kitab Riyadhus Shalihin

( Imam Nawawi )

Related Posts with Thumbnails

Hakikat Ilmu Dan Adab-Adab Ulamak

Oleh: Ust Nik Bakri Nik Mat

Isnin 16 Jun 2008 Bahagian 3


Pengertian Adab


Adab ialah kalimah masdar daripada ‘Aduba’ yang bermaksud keelokan jiwa dan akhlak.

Adab dari segi istilah suatu perkara yang menghasilkan akhlak (budi pekerti) yang baik kepada diri atau jiwa manusia dan adab juga sesuatu yang menghasil ilmu yang dituntut oleh manusia.


Kedudukan Adab Dalam Islam


Adab merupakan perkara yang amat besar nilainya dan amat tinggi kedudukanya di sisi Islam. Tanpa adab, kehidupan dan ibadat kita tidak akan dinilai dengan sempurna oleh Allah Ta’ala.


Nabi s.a.w bersabda:


أَدَّبـَنِـي رَبِّـي فَـأَحْسَــنَ تَـــأْدِيْـبِـي


Maksudnya:


Tuhanku yang mendidik adabku, maka akulah orang yang paling baik adab”.


Berkata Al-Imam Al-Habib Al-Allamah Ahmad bin Zin Al-Alawi Al-Husaini:


وَاعْلَمْ أَنَّ الدِّيْنَ كُلَّهُ آدَابٌ فَلِكُلِّ عَمَلٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ حَالٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ مَـقَامٍ أَدَبٌ وَلِكُلِّ وَقْتٍ أَدَبٌ كَآدَابِ الْوُضُوءِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَالْعِلْمِ وَالْقِرَاءَةِ وَآدَابِ الْكَسْبِ وَالتَّجْرِيْدِ وَآدَابِ الْفَقْرِ وَالغِنَى .


Maksudnya:


“ Ketahuilah bahawa agama Islam itu semuanya adab. Maka pada setiap amalan terdapat adab dan pada setiap hal keadaan adanya adab dan setiap kedudukan (martabat) padanya adab dan pada setiap masa adanya adab, seperti adab berwudhu’, adab solat, adab puasa, adab berzakat, adab haji, adab menuntut ilmu, adab membaca, adab berzikir, adab al-kasbu dan al-tajrid serta adab fakir dan adab kaya”. (4)


Sabda Nabi s.a.w


أَكْـرِمُوا أَوْلَادَكُمْ فَـأَحْسِـــنُوا أَدَبَـهُـمْ


Maksudnya:


Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah adab-adab mereka (didiklah mereka dengan adab yang baik)”.


(Riwayat: Imam Ibnu Majah)


Adab Dalam Al-Quran & As-Sunnah


Dalil Pertama


Firman Allah Ta’ala:


قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْداً قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْراً

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْر قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ صَابِراً وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْراًاً

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً


Maksudnya:


Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, supaya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"


Dia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.


Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi/menyeluruh?


Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, insyaa Allah: orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".


Dia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya/persoalkan kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".


(Surah Al-Kahfi: 66-70)


Mengikut pendapat Al-Imam Al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini, ianya terbahagi kepada dua perkara:


Pertama:


Merujuk kepada ayat 66 iaitu berkaitan dengan pertanyaan Nabi Musa a.s untuk menjadi murid kepada Al-Khidir. Maka berkata Imam Al-Qurtubi: “Ini adalah soalan yang amat sopan dan bahasa yang halus di mana ianya menunjukkan keelokan adab (seorang murid).


Kedua:


Ayat ini menunjukkan satu dalil bahawasanya seorang penuntut mesti patuh atau mengikut orang alim (yang dia jadikan guru- penyusun) sekalipun ada perbezaan dari segi kedudukan.


Contohnya:


Jikalau hendak diukur kedudukan Nabi Musa dengan Al-Khidir sudah tentu Nabi Musa lebih tinggi kedudukannya, kerana Nabi Musa adalah Nabi dan Rasul. Namun dalam persoalan belajar Nabi Musa hendaklah patuh dan merendahkan diri kepada Al-Khidir sebagaimana arahan yang dinyatakan pada ayat 70 di atas. (5)


Dalil Kedua


Persoalan adab dibicarakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a. Ianya berkaitan dengan hadis Islam, Iman dan Ihsan. Dalam sebuah kitab yang bertajuk Al-Wafi Fi Syarhil Matan Arba’in karangan Dr Mustafa Al-Bugha, beliau menyatakan dalam bentuk pangajaran daripada hadis tersebut iaitu:


Memperkemaskan pakaian dan memperelokan tingkah laku: Sunat memakai pakaian yang bersih dan bau-bauan yang wangi kerana hendak memasuki masjid dan menghadiri majlis ilmu. Dan hendaklah beradab dalam majlis ilmu juga ketika bersama ulama’.


Dalam hadis yang sama adab yang amat tinggi digambarkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a bila mana ditanya oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Wahai Umar, adakah kamu kenal siapkah yang bertanya? Lalu beliau menjawab: “Allah Dan RasulNya lebih mengetahui. (6)


Inilah yang dinamakan adab, iaitu para sahabat tidak mahu sedikitpun menunjukkan sikap lebih pandai atau ingin mendahului Nabi s.a.w. Begitulah sikap yang mesti ada pada kita semua apabila berdepan dengan ulama’ pewaris Nabi s.a.w.



Related Posts with Thumbnails

Siri Kenali Tokoh Islam

Oleh: Fateh al Qarni

Sabtu 14 Jun 2008


KISAH ABU HURAIRAH R.A. MENJAGA GUDANG ZAKAT.


Dikisahkan pada satu ketika Abu Hurairah r.a. diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menjaga gudang hasil zakat. Pada suatu malam Abu Hurairah r.a. melihat seseorang sedang mengintai hendak mencuri, lalu ditangkapnya. Orang itu pun hendak dibawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. tetapi pencuri itu memohon minta dikasihani seraya menyatakan bahawa dia mencuri untuk memebantu keluarganya yang kelaparan.


Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskan pencuri itu dengan pesan agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.


Keesokkan harinya perkara tersebut dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tersenyum lalu bersabda bahawa pencuri itu pasti akan kembali.


Ternyata keesokkan malamnya pencuri itu datang lagi. Sekali lagi Abu Hurairah r.a. menangkap pencuri itu lalu hendak dibawanya kehadapan Rasulullah S.A.W. Sekali lagi, pencuri itu memohon agar dibebaskan sehingga Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskannya sekali lagi. Keesokkan harinya, dia melaporkan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang mengulangi sabdanya bahawa pencuri itu pasti akan kembali.


Setelah pencuri itu ditangkap sekali lagi pada malam berikutnya, Abu Hurairah r.a. mengancam akan membawanya kehadapan Rasulullah S.A.W. Pencuri itu meminta belas kasihan agar dibebaskan sekali lagi. Melihat Abu Hurairah r.a. enggan melepaskannya, pencuri itu menyatakan dia akan mengajar sesuatu yang baik jika ia di bebaskan. Pencuri itu berkata bahwa jika seseorang membaca ayat Kursi sebelum tidur, syaitan tidak akan menggangguinya.


Abu Hurairah r.a. merasa tersentuh mendengarkan ajaran pencuri itu lalu melepaskannya pergi. Keesokkan harinya dia melaporkan peristiwa tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. bersabda, pencuri yang ditemuinya itu adalah pembohong besar, tetapi apa yang diajarkan kepada Abu Hurairah r.a. itu adalah benar. Sebenarnya pencuri itu adalah syaitan yang dilaknat.


Walaupun Abu Hurairah r.a. merupakan seorang yang miskin pada mulanya, ia telah dipinang oleh salah seorang majikannya yang kaya raya untuk putrinya, Bisrah binti Gazwan. Ini menunjukkan betapa Islam telah mengubah pandangan seseorang dari membezakan kelas kepada menyanjung keimanan. Abu Hurairah r.a. dipandang mulia kerana alimanya dan kesolihannya. Perilaku islami telah memuliakannya, lebih dari kemuliaan pada masa jahiliah yang memandang kebangsawanan dan kekayaan sebagai ukuran kemuliaan.


Sejak menikah, Abu Hurairah r.a. membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hadis. Ia dan keluarganya tetap hidup sederhana walaupun telah menjadi orang berada. Abu Hurairah r.a. suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan memberi sedekah rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.


Rasulullah S.A.W. pernah mengutuskan Abu Hurairah r.a. berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami r.a. Dia juga pernah diutus bersama Quddamah r.a. untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.


Mungkin disebabkan oleh kepercayaan Rasulullah itu, Abu Hurairah r.a. diangkat menjadi gubnor Bahrain ketika Umar r.a. menjadi Amirul Mukminin. Tapi pada 23 Hijrah, Umar r.a. memecatnya kerana Abu Hurairah r.a. dituduh menyimpan wang yang banyak sehingga 10,000 dinar. Pada satu mesyuarat, Abu Hurairah r.a. berhasil membuktikan bahawa harta itu diperolehnya dari menternak kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar r.a. menerima penjelasan itu dan memaafkannya. Lalu dia diminta menerima jabatan Gubnor kembali, tapi Abu Hurairah r.a. menolak.


Penolakan itu diiringi lima alasan. "Aku takut berkata tanpa pengetahuan; aku takut memutuskan perkara bertentangan dengan hukum (agama); aku tidak mahu disebat; aku tak mahu harta benda hasil pencarianku disita; dan aku takut nama baikku tercemar," katanya. Dia memilih untuk tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya.


Khalifah Umar ibn Khattab r.a. pula pernah melarang Abu Hurairah r.a. menyampaikan hadis dan hanya dibenarkan menyampaikan ayat Al-Quran. Ini disebabkan tersebar kabar angin bahawa Abu Hurairah r.a. banyak memetik hadis palsu. Larangan khalifah baru dibatalkan setelah Abu Hurairah r.a. mengutarakan hadis mengenai bahaya hadis palsu.


Hadis itu berbunyi,


"Barangsiapa yang berdusta padaku (Nabi S.A.W.) secara sengaja, hendaklah mempersiapkan diri duduk dalam api neraka." Hadis ini diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ad-Darimi, dan Ahmad ibn Hanbal.


Ketika kediaman Amirul Mukminin Ustman ibn Affan r.a. dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-fitnatul kubra (fitnah/bencana besar), Abu Hurairah r.a. bersama 700 orang Muhajirin dan Anshar tampil mengawal rumah tersebut, dalam keadaan siap sedia untuk bertempur, Khalifah Ustman ibn Affan r.a. melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak.


Pada masa Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a. , Abu Hurairah r.a. menolak tawaran menjadi gubnor Madinah. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawiyah ibn Abi Sufyan, ia bersikap tidak memihak dan menghindari fitnah. Setelah Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah r.a. dilantik menjadi gubnor Madinah setelah diusulkan oleh Marwan ibn Hakam. Di Kota Penuh Cahaya (Al-Madinatul Munawwarah). Beliau telah mengembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Abu Hurairah r.a. meninggalkan sebanyak 5,374 hadis.


Hadis Abu Hurairah r.a. yang disepakati Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis, dan oleh Muslim sendiri 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.


Terdapat pula golongan yang mempertikaikan tentang kesahihan hadis-hadis yang di sampaikan oleh Abu Hurairah r.a. seperti dari golongan orientalis barat, Ignaz Goldizihar yang telah membuat kritikan terhadap hadis dan para perawinya termasuk Abu Hurairah. Tuduhan beliau telah mempengaruhi beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyuh untuk mengkritik kedudukan Abu Hurairah sebagai perawi hadis. Tuduhan-tuduhan ini telah disanggah oleh Mustafa al Sibai dalam al Sunnah wa Makanatuha halaman 273-283.


Selain dari golongan ini terdapat juga kritikan kuat dari golongan Syiah. Ini mungkin disebabkan Abu Hurairah r.a. merupakan pendukung Ustman ibn Affan r.a. dan juga pernah menjadi pegawai dinasti Umayah. Penolakannya menyandang jabatan gubernur ketika ditawarkan oleh Ali r.a. dan tidak adanya hadis yang berisi pujian atau pengistimewaan kepada Ali dan keluarganya mungkin merupakan sebab-sebab lain Abu Hurairah dikritik oleh kaum Syiah.


Dipetik dari buku Mengenal Shahabiah Nabi shallallâhu 'alaihi wa sallam dengan sedikit perubahan, penerbit Pustaka AT-TIBYAN)



Related Posts with Thumbnails

Siri Kenali Tokoh Islam

Abu Hurairah r.a

Oleh: Fateh al Qarni

Sabtu 7 June 2008


Abu Hurairah r.a. dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama kecil beliau sebelum memeluk agama Islam tidak diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang mashyur adalah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman. Beliau berasal dari qabilah al-Dusi di Yaman. Abu Hurairah r.a. memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah S.A.W. berangkat menuju ke Khaibar. Ketika itu ibunya masih belum menerima Islam bahkan menghina Nabi. Abu Hurairah r.a. lalu bertemu Rasulullah S.A.W. dan meminta baginda berdoa agar ibunya masuk Islam. Kemudian Abu Hurairah r.a. menemui ibunya kembali, mengajaknya masuk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadat.


Setelah pulang dari Perang Khaibar, Rasulullah S.A.W. memperluas Masjid Nabawi ke arah barat dengan menambah ruang sebanyak tiga tiang lagi. Abu Hurairah r.a. turut terlibat dalam perluasan masjid ini. Ketika dilihatnya Rasulullah S.A.W. turut mengangkat batu, ia meminta agar beliau menyerahkan batu itu kepadanya. Rasulullah S.A.W. menolak seraya bersabda, "Tiada kehidupan sebenarnya, melainkan kehidupan akhirat."


Abu Hurairah r.a. pernah salah dalam menimbang makanan yang lezat sehingga dia dikenakan hukuman dipukul oleh Rasulullah S.A.W. Bagaimanapun Abu Hurairah r.a. gembira "Kerana Nabi menjanjikan akan memberi syafaat kepada orang yang pernah merasa disakitinya baik secara sengaja atau tidak," katanya.


Begitu cintanya kepada Rasulullah S.A.W. sehingga siapa pun yang dicintai, ia ikut mencintainya. Misalnya,ia suka mencium Hasan dan Husain, karena melihat Rasulullah S.A.W.mencium kedua cucunya itu.


Gelar Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah S.A.W. dia ditanyai apa yang ada dalam lengan bajunya. ketika dia menunjukkan anak kucing yang ada dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah r.a. oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih dikenal dengan nama Abu Hurairah r.a..


Abu Hurairah r.a. berpindah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana ia bekerja menjadi buruh kasar bagi siapa yang memerlukannya Sering kali dia mengikatkan batu ke perutnya, kerana menahan lapar yang amat sangat. Malah diceritakan bahawa dia pernah berbaring berhampiran mimbar masjid sehinggakan orang menyangka dia kurang waras. Rasullullah S.A.W. yang mendengarkan masalah tersebut, segera menemui Abu Hurairah r.a. yang menjelaskan bahawa dia berbuat sedemikian kerana lapar, lalu Rasullullah S.A.W. pun segera memberinya makanan.


Abu Hurairah r.a. adalah sahabat yang sangat dekat dengan Nabi S.A.W. Ia dikenal sebagai salah seorang ahli shuffah, yaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di halaman masjid. Beliau begitu dekat dengan Nabi S.A.W., sehingga baginda selalu menyuruh Abu Hurairah r.a. untuk mengumpulkan ahli shuffah, jika ada makanan yang hendak dibagikan.


Pernah pula pada suatu ketika, dia duduk di pinggir jalan tempat orang biasanya berlalu lalang sambil mengikatkan batu ke perutnya. Dilihatnya Abu Bakar r.a melintas. Lalu dia minta dibacakan satu ayat Al-Quran. "Aku bertanya begitu supaya dia mengajakku ikut, memberiku pekerjaan," kata Abu Hurairah r.a.. Tapi Abu Bakar r.a. cuma membacakan ayat, lalu pergi meninggalkan ia.


Dilihatnya Umar ibn Khattab r.a.. "Tolong ajari aku ayat Al-Quran," kata Abu Hurairah r.a.. Ternyata dia kecewa sekali lagi kerana Umar r.a.melakukan hal yang sama.


Tak lama kemudian Rasullullah S.A.W. pula yang lewat. Nabi tersenyum. "Beliau tahu apa isi hati saya. Beliau dapat membaca raut muka saya dengan tepat," kata Abu Hurairah r.a..


"Ya Aba Hurairah!" panggil Nabi.


"Labbaik, ya Rasulullah!"


"Ikutlah aku!"


Beliau mengajak Abu Hurairah r.a. ke rumahnya. Di dalam rumah didapati semangkok susu. "Dari mana datangnya susu ini?" tanya Rasulullah S.A.W.. Beliau diberitahu bahwa seseorang telah memberikan susu itu.


"Ya Aba Hurairah!"


"Labbaik, Ya Rasulullah!"


"Tolong panggilkan ahli shuffah," kata Rasullullah S.A.W. Susu tadi lalu dibagikan kepada ahli shuffah, termasuk Abu Hurairah r.a.. Sejak itulah, Abu Hurairah r.a. mengabdi kepada Rasullullah S.A.W. , bergabung dengan ahli shuffah di pondok masjid.


Abu Hurairah r.a. berhasil meriwayatkan banyak hadis karena beliau sentiasa dekat dengan Rasulullah selama 3 tahun, setelah memeluk Islam. Ini sebagaimana yang di riwayatkan olehnya :-


Terjemahannya :-


… sesungguhnya saudara kami daripada golongan Muhajirin sibuk dengan urusan mereka di pasar dan orang-orang Ansar pula sibuk bekerja di ladang mereka sementara aku seorang yang miskin sentiasa bersama Rasulullah S.A.W. ‘Ala Mil’i Batni. Aku hadir di majlis yang mereka tidak hadir dan aku hafal pada masa mereka lupa.


(HR. Bukhari)


Pada mulanya Abu Hurairah r.a. mempunyai ingatan yang lemah lalu beliau mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah lalu mendoakan agar Abu Hurairah r.a. diberkati dengan daya ingatan yang kuat lalu semenjak hari itu Abu Hurairah dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat yang membuat beliau mampu meriwayatkan jumlah hadis terbanyak di kalangan para sahabat.

Related Posts with Thumbnails

10 Peringatan Bumi

Oleh: Fateh al Qarni

Sabtu 7 June 2008

Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

Berkata Anas Bin Malik r.a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah!
Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

Related Posts with Thumbnails

Berpada Dengan Pemberian Allah SWT

Oleh: Fateh al Qarni

Rabu 4 june 2008

Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi saw. bersabda yang maksudnya: Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.

(Riwayat Bukhari)

Huraian :

  • Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyaknya nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari.
  • Oleh itu jangan kita merasa kesal atau kecewa dengan ciptaan atau pemberian Allah sama ada kita mengalami kecacatan, kekurangan dan sebagainya. Hal ini kerana jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan. Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya.
  • Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya. Oleh itu dalam apa juga perkara kita hendaklah bersifat qana’ah dan sentiasa bersyukur di samping berusaha dan bersabar kerana Allah ada berfirman yang maksudnya:

“boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah:216)



Related Posts with Thumbnails

Hakikat Ilmu Dan Adab Bersama Ulamak

Oleh: Ust. Nik Bakri Nik Mat

Selasa 03 June 2008

Bahagian 2


Hakikat Ulama’


Adapun pengertian ulama’ pada pandangan Islam ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya:


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ


Maksudnya:

"Sebenarnya yang amat merasa bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah dikalangan hamba-hambaNya yang bergelar ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun".

Surah Fathir: 28


Inilah yang dikatakan hakikat ulama’ pewaris Nabi s.a.w. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang di i’tiraf oleh Allah Ta’ala sendiri mempunyai sifat yang benar-benar takut kepada Allah Ta’ala. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya melakukan apa yang bercanggah dengan kehendak Allah dan RasulNya serta tidak akan menyampaikan ilmu yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya. Maka kita hendaklah betul-betul beradab semasa berada dalam majlis-majlis mereka kerana, mereka amat dimuliakan oleh Allah Ta’ala.


Para ulama’ adalah terlalu mulia dan tinggi sehingga diangkat kedudukan para ulama’ kepada beberapa darajat. Firman Allah Ta’ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ


Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.

Surah Al-Mujadalah: 11


Para ulama’ juga telah dii’tiraf oleh Rasulullah s.a.w sebagai pewaris para Ambiya’. Ianya dinyatakan dalam sebuah hadis.


عَنْ أَبِى الدَّرْدَاءِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ :

وَإِنَّ الْـعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيْتَانُ فِي الْمَاءِ وَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْـقَمَرِ عَلَى سَائـِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِيْنَارًا وَلَا دِرْهَامًا وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْـعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِـرٍ .


Maksudnya:

Daripada Abu Darda’ r.a berkata: Aku mendengar daripada Rasulullah s.a.w bersabda: “Dan sesungguhnya seorang alim itu dipohon keampunan kepadanya oleh sesiapa yang berada dilangit dan di bumi sehingga ikan-ikan di laut. Kelebihan seorang alim dibandingkan dengan seorang abid seumpama kelebihan bulan dibandingkan dengan semua bintang-bintang. Dan sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar ataupun derham, akan tetapi mereka meninggalkan ilmu. Maka sesiapa yang mendapat ilmu, dia mendapat habuan/bahagian yang banyak”. (2)

(Riwayat Imam Abu Daud & Imam Tirmizi)


Renunglah sebuah hadis yang menggambarkan amaran keras daripada Nabi s.a.w kepada sesiapa yang tidak beradab dengan para ulama’ iaitu untuk bersaing atau menunjukkan kehebatan dengan ulama’.


Sabda Nabi s.a.w:


مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُفَاخِرَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِىَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ لِيَصْرِفَ بِهِ وُجُوْهَ النَّاسِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ .


Maksudnya:

“Sesiapa yang menuntut ilmu dengan maksud untuk bersaing dengan para ulama’ atau untuk mujadalah (berdebat) dengan orang jahil atau untuk mengambil(menarik) perhatian orang ramai, maka dia akan dimasukkan kedalam neraka”.(3)



Related Posts with Thumbnails
 
Copyright @ 2008 DarulMujahidin: Jun 2008 | Design By iEn | Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox | Top