Matlamat mereka adalah untuk menentang tentera Palestin yang diketuai oleh Jalut. Mereka sangat terkenal dengan kekuatannya. Oleh itu, tentera Israel berjanji untuk menebus kembali wilayah mereka yang telah ditakluk oleh Palestin.
Thalut yang mengetuai pasukan tentera tersebut telah merancang berbagai-bagi strategi. Beliau banyak memberi nasihat penting kepada para tenteranya tentang taktik-taktik untuk melawan musuh.
Thalut juga mengajar tenteranya erti kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi peperangan.
Apabila sampai waktunya untuk berperang, Thalut dan tenteranya telah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Dalam perjalanan ke medan perang itu, Thalut berkata: “Wahai tenteraku sekelian! Sebentar lagi kita akan melalui sebuah anak sungai. Sekiranya ada di antara kamu yang minum airnya, kamu bukan lagi pengikutku. Tetapi sekiranya kamu hanya mengambilnya secedok sekadar untuk menghilangkan dahaga, kamu adalah pengikutku”.
Mereka kembali meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, mereka menemui sebuah anak sungai seperti yang diberitahu oleh Thalut. Kebetulan pula ketika itu mereka sangat dahaga.
Tanpa berlengah lagi, sebahagian besar tentera Thalut turun ke sungai tersebut lalu minum sepuas-puasnya. Mereka tidak mengendahkan segala pesanan Thalut. Hanya beberapa orang yang mengikut nasihat Thalut itu. Mereka hanya mengambil secedok air untuk membasahkan tekak.
Selepas itu Thalut mengarahkan semua bala tenteranya meneruskan perjalanan semula. Akan tetapi orang-orang yang telah minum dengan banyak air sungai itu berkata: “Wahai Thalut! Hari ini kami tidak sanggup untuk menentang Jalut dan tenteranya.”
Mereka ingin mengundurkan diri daripada peperangan, lalu berpatah balik. Tinggallah sebahagian kecil tentera Thalut yang masih teguh pendiriannya.
“Kami tidak gentar walaupun jumlah kita hanya sedikit kerana Allah pasti akan menolong kita. Berapa ramai tentera yang sedikit jumlahnya telah menang dalam peperangan melawan tentera yang lebih besar jumlahnya? Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang sabar.”
Akhirnya mereka meneruskan perjalanan untuk berjuang sambil berdoa kepada Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kesabaran dan tetapkanlah pendirian kami untuk menentang orang-orang kafir”.
0 ulasan:
Catat Ulasan