Oleh: Ust. Nik Bakri Nik Mat
Selasa
Muqaddimah
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم ِعَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya:
“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.
(Surah Al-Alaq: 1-5)
Islam merupakan sistem kehidupan yang berasaskan ilmu. Dengan sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya mempelajari ilmu. Maka apabila bercakap soal ilmu di sana ada kaitan dengan orang yang mempelajari ilmu dan yang mengajar ilmu, dengan kata lain ada yang di namakan penuntut ilmu dan guru yang menyampaikan ilmu.
Oleh yang demikian Islam telah menggariskan kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu khususnya ilmu-ilmu yang ada kaitan langsung dengan wahyu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Insya Allah kertas kerja ringkas ini akan membentangkan secara umum pengertian ilmu dan hakikatnya, siapakah ulama’ dan kedudukanya dalam Islam serta kaedah, peraturan dan adab-adab menuntut ilmu mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, semoga ianya menjadi tatapan dan renungan seterusnya menjadi amalan kepada penuntut-penuntut baru khususnya dan penuntut-penuntut lama umumnya.
Ianya adalah bertujuan untuk mencapai keutamaan-keutamaan menuntut ilmu sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama’ pewaris Nabi s.a.w. Keutamaan-keutamaan tersebut adalah:
Pertama : Memperolehi hakikat ilmu yang bermenafaat.
Kedua : Menjadi seorang murid yang benar dan beradab.
Ketiga : Mendapat keberkatan daripada guru dan keberkatan dalam hidup.
Keempat : Memudahkan untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari dan dapat merasakan keberkesanan ilmu pada jiwa.
Kelima : Mendapat kurniaan tambahan ilmu daripada Allah Ta’ala dan mengekalkan ilmu di hati.
Keenam : Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Ketujuh : Mendapat rahmat dan redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Hakikat Ilmu
Islam mempunyai ta’rif dan pengertian yang tersendiri berkaitan dengan ilmu. Bahkan Islam amat memberi penekanan agar setiap penuntut ilmu itu mendapat hakikat ilmu yang dipelajari bukan sekadar pengetahuan atau maklumat semata-mata.
Oleh yang demikian walau apa pun ilmu yang kita pelajari, lebih-lebih lagi bilamana ilmu tersebut bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah ianya amat berbeza daripada apa yang kita faham kerana ilmu ini adalah terlalu bernilai, disebabkan mempunyai hubungan langsung dengan Allah Ta’ala dan RasulNya. Ia juga mepunyai kaitan yang amat rapat dengan ulama’ yang menjadi perantara kepada ilmu selaku pewaris kepada Rasulullah s.a.w.
Oleh yang demikian jangan kita bersikap sebarangan bilamana kita ingin menuntut ilimu-ilmu yang sedemikian. Maka, marilah kita sama-sama memahami dan mendalami secara umum hakikat ilmu dan ulama’ untuk menjadi panduan kepada kita semua insya Allah.
Di antara pengertian ilmu sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud r.a:
لَيْـسَ الْـعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ إِنَّمَا الْـعِلْمُ نُوْرٌ يُقْذَفُ فِي الْـقَلْبِ
Maksudnya:
“Bukanlah dinamakan ilmu dengan banyaknya riwayat akan tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan/dikurniakan oleh Allah di dalam hati”.(1)
Begitu juga Al-Imam Asy-Syafie telah menceritakan ketika beliau mengadu kepada gurunya Al-Imam Waqi’ tentang buruknya hafalan beliau. Maka Al-Imam Asy-Syafie berkata:
فَـأَرْشَـدَنِي أَنْ تَرْكَ الْمَعَـاصِى لِأَنَّ الْـعِلْمَ نُـوْرٌ وَنُـوْرُ اللَّهِ لاَ يُهْدَى لِلْعَاصِى
Maksudnya:
“ Beliau menasihatiku supaya meninggalkan maksiat. Kerana ilmu itu adalah nur (cahaya). Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada ahli maksiat”.
0 ulasan:
Catat Ulasan