Oleh :Fateh Al-Qarni
06 Oktober 2008 :Isnin
MANUSIA tidak luput daripada salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah dan dosa adalah mereka yang cepat kembali kepada Allah seraya memohon ampun kepada-Nya.
Ini yang dikatakan Allah dalam firman yang bermaksud:
“Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)
Sayyid Qutb dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menyatakan bertaubat dalam waktu yang dekat adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakaratul maut. Sebab hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak mengetahui bila akan meninggal dunia. Untuk itu mereka harus sentiasa bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh datang bila-bila masa saja.
Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam tafsir al-Maraghi menyatakan, bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian harus bertaubat seberapa segera mungkin apabila sedar akan kesalahan yang dilakukannya.
Namun Sayyid Qutb dan al-Maraghi bersepakat, taubat yang diterima Allah adalah mereka yang bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan ceruk jiwa yang suci. Mereka menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya di masa akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada niat tulus ikhlas manusia itu.
Dosa manusia pada hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Dosa kecil dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah dan dosa biasa dapat dihapus dengan ibadat.
Dosa besar haruslah diselesaikan dengan taubat kecuali amalan syirik. Perbuatan itu dosanya tidak akan diampunkan sehingga seseorang itu meninggalkan semua anasir syirik seperti firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia akan mengampuni dosa selain itu.” (Surah al-Nisa’, ayat 48)
Namun sesungguhnya dosa yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu menyelesaikannya terlebih dulu.
Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud:
“Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu.”
Allah tidak akan mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dulu. Jika tidak, pada akhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa dengan kebaikan atau memindahkan dosa orang dizalimi kepada yang menzalimi.
Pada hari itu mahkamah dipimpin Allah Maha Adil. Maka tidak ada sedikit pun kezaliman yang tidak dibalasi dan tidak ada sebesar zarahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan.
Oleh sebab itu meminta maaf ke atas dosa dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang mesti dilakukan sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus membayar kesalahan itu pada akhirat kelak. Tidak seorang pun yang dapat membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya alam akhirat.
Namun Islam adalah agama penuh kasih sayang. Maka setiap Muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan seperti firman Allah yang bermaksud:
“Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 237)
Walaupun memberi maaf itu bukanlah sesuatu kewajipan, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat besar di sisi Islam. Orang yang memaafkan selepas diminta maaf akan mendapatkan pahala memaafkan dan pahala daripada kezaliman ke atasnya.
Namun orang yang memaafkan sebelum diminta maaf akan mendapat keuntungan sangat besar, iaitu ketenangan jiwa di dunia dan balasan berlipat ganda pada akhirat kelak, jauh melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan itu.
Sempena mengakhiri Ramadan yang suci dan memasuki Syawal mulia sewajarnya kita membuka pintu maaf untuk siapa saja. Berikan ruang dalam hati untuk saling memaafkan kerana itu lebih utama daripada menyimpannya berlarutan di jiwa.
0 ulasan:
Catat Ulasan