Nyza Ayob | Foto Wan Zahari Salleh Tue | Oct 30, 07 | 5:41:27 pm MYT | |
SHAH ALAM, 30 Okt (Hrkh) - Tanpa belas, tanpa simpati, apa lagi untuk mengendahkan rayuan penduduk kampung, akhirnya penduduk Kampung Rimba Jaya, dekat sini menerima nasib yang sama seperti penduduk Kampung Berembang. Sementara itu, sekatan jalan raya diadakan di beberapa tempat masuk. Manakala kira-kira jam 7.30 pagi operasi perobohan dilakukan. Sehingga jam 8.55 pagi, semua rumah yang dihuni oleh 274 keluarga telah dirobohkan. Pada 3 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan rayuan penduduk agar tidak dilakukan perobohan ke atas rumah mereka ditolak. Justeru pada 9 Oktober, Badan Bertindak Penduduk telah menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Selangor agar memberi kelonggaran terhadap hukuman perobohan rumah-rumah mereka. Bagaimanapun pada 19 Oktober, penduduk menerima surat yang dialamatkan kepada peguam mereka, Teng Chang Khim & Co dan mereka diarahkan berpindah pada atau sebelum 26 Oktober. Sementara itu, wartawan Harakahdaily ketika sampai di lokasi kejadian melaporkan pada jam 1 tengahari Ketua Penerangan PAS Shah Alam, Isma Mohd Ali, dan Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Kampung Rimba Jaya bersama Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli bermesyuarat dan mencapai kata sepakat agar Surau Al-Ijtimaiah di kampung berkenaan dirobohkan secara baik dengan segala kayu serta peralatannya akan digunakan untuk pembinaan surau baru Maahad Tahfiz A-Mukri, Puchong. Dan sebaik sahaja masuk waktu zohor, mereka bersembahyang berjemaah yang merupakan solat jemaah terakhir di surau tersebut. Turut kelihatan menunaikan solat tiga orang penguatkuasa MBSA manakala kira-kira 300 orang penguatkuasa yang lain hanya berehat di sudut surau serta berlegar di sekitar kawasan kampung tersebut. Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut bertanya khabar nasib yang menimpa penduduk. Dan dalam perkembangan lain,kaum India di kawasan perkampungan tersebut tetap berkeras mempertahankan agar kuil Sri Maha Mariammah tidak dirobohkan walaupun dirahkan oleh pihak polis. Keadaan pula mula menjadi gawat dan kecoh apabila kaum India dari kawasan lain mula berkumpul di perkampungan tersebut untuk mempertahankan kuil mereka. Ketika laporan ini disampaikan, mereka dikatakan sedang membuat benteng sampah dan manusia untuk mengelak daripada diserang daripada pihak FRU. Dalam pada itu, kanak-kanak dan golongan ibu turut sama berkumpul dan berdoa di kuil tersebut. Dan pada jam 3.30 petang tadi, pihak FRU cuba mara dan pergerakan mereka telah dihalang apabila kaum India di kampung tersebut meletakkan sebuah lori di hadapan pintu masuk kuil mereka. Pada jam 4 petang tadi, keadaan agak genting apabila FRU tetap menceroboh masuk, dan ditentang oleh penduduk yang cuba mempertahankan kuil mereka. Dalam pada itu, Presiden MIC, Dato' Seri Samy Vellu yang diiringi pimpinan MIC yang lain, tiba di tempat tersebut. Bagaimanapun, sewaktu sedang berunding dengan penduduk India dalam kuil tersebut, beliau turut dihambur dengan 'water cannon' sebelum sempat dilarikan oleh pengikut-pengikutnya. Sungguhpun berkeras agar kuil mereka tidak dirobohkan, kelihatan beberapa orang di kalangan mereka cuba 'menyelamatkan' barang-barang di dalam kuil tersebut. Akhirnya, setelah keadaaan reda pihak berkuasa telah menunda operasi merobohkan kuil setelah Samy Vellu campurtangan dalam konflik perobohan kuil Hindu. - mks |
Rumah di Rimba Jaya menyembah bumi, Samy Vellu diserang 'water cannon'
Rumah di Rimba Jaya menyembah bumi, Samy Vellu diserang 'water cannon'

Date: 31 Oktober 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan